HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mac 2018

Aktivis Peka disiasat kerana video nyanyian ‘ABCDGST’



Aktivis Peka disiasat kerana video nyanyian ‘ABCDGST’



Penggerak Komuniti Muda (Peka) Masturah Afandi telah dipanggil polis hari ini untuk memberikan keterangan ekoran rakaman video nyanyian ‘ABCDGST’.

Lagu satira berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu dinyanyikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Masturah, 28, dipanggil ke IPD Timur Laut bagi siasatan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Sehubungan itu, kempen Solidariti Untuk Masturah dengan #tolakpenindasan dan #tolakdwistandard diadakan di hadapan IPD tersebut pagi tadi.

Masturah Afandi

Semalam, polis dalam sidang media di George Town memberitahu akan memanggil Lim bagi direkod keterangan membantu siasatan berhubung satu video yang tersebar yang menunjukkan pemimpin DAP itu menyanyikan lagu mengenai GST kepada sekumpulan kanak-kanak

Nyanyian mengikut rentak lagu ABC itu dilakukan ketika beliau merasmikan inisiatif kerajaan negeri, Program Tuisyen Rakyat di Jelutong pada 17 Mac lalu.

Polis turut memberitahu beberapa individu lain termasuk mereka yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu akan dipanggil.

Polis juga akan memohon laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun laman sosial yang menyebarkan video itu.

Solidariti untuk Masturah di hadapan IPD Timur Laut.


Tiada ulasan: