Peguam,
Muhammad Nur Hafiz Roslan (kiri) bersama peguamnya, Faizal Rahman
(kanan) bercakap pada Sidang Media berhubung kes yang telah diperas ugut
oleh sekumpulan gengster yang disyaki di upah oleh seorang pengarah
syarikat JAKEL di Restoran Roshana Bilash, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ
AMBAK,
KUALA LUMPUR – Gara-gara kononnya mendapat ancaman ‘serangan’
gengster, satu sidang media yang sepatutnya diadakan di sebuah apartmen
servis di Jalan Perak di sini terpaksa bertukar lokasi ke sebuah
restoran saat-saat akhir.
Beberapa wartawan daripada agensi media yang sebelum itu menunggu di
aparment berkenaan ‘dibawa’ oleh pihak penganjur ke sebuah restoran di
Jalan Imbi menaiki Toyota Velfire.
Sidang media yang sepatutnya berlangsung pukul 3 terpaksa ditunda ke pukul 4.30 petang gara-gara insiden tersebut.
Penganjur kemudiannya memaklumkan kepada wakil media ada dua individu
tidak dikenali memperkenalkan diri dan dihantar oleh bosnya untuk hadir
sidang media yang sama dengan mendakwa bertugas di sebuah syarikat
televisyen berbayar.
Bagaimanapun, penganjur yang curiga dengan sikap kedua -dua individu
terbabit tidak melayan mereka setelah dua lelaki itu tidak mahu
menunjukkan kad identiti sebagai petugas media.
Mereka bimbang kedua-dua lelaki tersebut akan ‘menganggu’ sidang media yang sama.
Sidang media itu diadakan bagi mendedahkan dakwaan ancaman yang
diterima oleh seorang peguam yang juga pemilik butik apabila terpaksa
hidup dalam ketakutan setelah menerima ugutan daripada sekumpulan
gangster yang didakwa diupah pemilik sebuah gedung pakaian terkenal
untuk tujuan menuntut hutang.
Muhammad Nur Hafiz Roslan, 33, mengakui mempunyai baki hutang
berjumlah RM220,000 dengan gedung pakaian berkenaan menerusi usahasama
yang dijalankan sebelum itu.
Bagaimanapun, menurutnya, cara tuntutan yang dibuat pihak berkenaan
membuatka keselamatan dirinya, keluarga serta kakitangan pejabat
guamannya terancam. Muhammad Nur Hafiz Roslan (kiri) bersama peguamnya, Faizal Rahman
“Anak saya sampai menangis dan trauma. Staf saya baik orangnya bakal peguam syarie digertak hingga mengalirkan air mata.
“Saya pernah cuba berbincang dengannya (pemilik gudang pakaian) tapi perbuatan ini sudah melampau,” dakwanya lagi.
“Nilai hutang itu adalah nilai kain yang saya ambil dari gedung itu
pada tahun 2016. Pihak kakitangan syarikat gedung itu ada menghubungi
saya nyatakan jumlah namun, saya dapati ia melebihi baki yang sepatutnya
membuatkan saya menuntut dokumen-dokumen berkaitan.
“Namun selepas itu tanpa sebarang tuntutan secara rasmi, saya
dihubungi pihak gangster berkenaan untuk berjumpa di ibu pejabat gedung
itu pada 19 Januari lalu.
“Di situ saya ditahan selama beberapa jam dan diugut agar membuat
bayaran. Pemilik gedung turut ada bersama dan mengarahkan segala urusan
hutang hanya dengan pihak yang telah dilantik olehnya itu.
“Tuntutan bayaran diminta dibuat dalam tempoh dua bulan dan saya
telah membayar separuh daripada nilai itu dalam tempoh kurang dua
minggu. Namun kumpulan yang diupah ini terus membuat ugutan kepada saya
menyebabkan saya rasa tidak selamat,” katanya.
Muhammad Nur Hafiz menambah, lebih teruk lagi apabila dia turut
diperas ugut membayar sejumlah wang kepada pihak orang tengah itu
menyebabkan dia rasa teraniaya.
“Gengster itu minta bayaran RM15,000 untuk dia bincang bersama
pemilik gedung menangguhkan tempoh bayaran. Saya beri tapi mereka terus
mengganggu saya, datang ke pejabat ketika anak saya ada, membuat bising,
gegar pagar dan pintu dan menjerit-jerit.
“Pada saya, ini tidak betul. Walaupun saya berhutang, ini bukan cara untuk menuntut bayaran.
“Saya bekerjasama dengan syarikat gedung ini sejak tahun 2010. Pada
tahun 2016, perniagaan saya tidak berjaya menyebabkan berlaku
penangguhan bayaran baki hutang. Sejak itu juga saya ada maklumkan
dengan pihak gedung itu agar faham dengan situasi saya,” ujarnya.
Sebagai pengamal undang-undang pun dia diugut seperti itu menyebabkan diri bimbang keselamatan keluarga dan kakitangannya.
Ujar Muhamad Nur Hafiz, dua laporan polis dibuat berhubung perkara
itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam manakala satu laporan
lagi dibuat di IPD Dang Wangi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Muhammad Nur Hafiz, Faizal Rahman
berkata, apa yang berlaku terhadap anak guamnya adalah melibatkan urus
niaga kain yang sebenarnya boleh diselesaikan secara sivil.
Katanya, pihak syarikat terbabit boleh mengambil tindakan tersebut sekiranya Muhammad Nur Hafiz cuba melarikan diri.
“Tapi apa yang kita difahamkan ada bayaran dibuat. Ini satu perkara yang tidak munasabah.
“Bila dia (Muhammad Nur Hafiz) ditekan dengan cara menggunakan
gangsterism ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan