SEORANG bekas pemandu peribadi menangis selepas dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM45,000 serta satu sebatan oleh tiga Mahkamah Majistret hari ini bagi 25 pertuduhan memalsukan cek dan menyalahgunakan wang lebih RM700,000, dua tahun lepas.
Majistret Siti Radziah Kamarudin, Majistret Majistret Mahyudin Mohmad Som dan Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman menjatuhi hukuman itu terhadap Mohamad Faisal Mohamad Sanusi,31, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang merupakan bekas pemandu peribadi Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Razali Ismail, supaya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Februari lepas, dan penjara 45 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-24, tertuduh didakwa memalsukan dokumen iaitu 24 keping cek Maybank dan Standard Chartered milik Razali, 79, yang jumlah ditunaikan adalah RM762,706 dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk menipu pihak bank.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Ampang Park dan Wangsa Maju serta Bank Standard Chartered di Jalan Ampang antara 4 Ogos 2016 sehingga 5 November 2016.
Kesemua pertuduhan terhadap Faisal dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Turut hadir dalam prosiding berkenaan ialah peguam pemerhati, M.Segaran, bagi pihak mangsa (Razali).
Faisal turut didakwa atas satu pertuduhan menunaikan sekeping cek bank bernilai RM35,000 atas nama Razali dan dia dengan curangnya menyalahgunakan wang itu, yang dia ketahui bukan miliknya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Standard Chartered Bank Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2016 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia telah insaf.
"Saya mengaku salah dan saya sendiri menyerah diri kepada pihak polis. Saya juga mempunyai tiga anak yang masih kecil.
“Saya sedar apa yang dilakukan salah dan apa yang saya lakukan adalah kerana marah dan dendam kepada majikan," katanya sambil menangis dalam kandang tertuduh.
Bagaimanapun, tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu K.Vasugi, Nur Farah Adilah Noordin dan Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Mereka menganggap kesalahan yang dilakukan oleh Faisal adalah serius dan tidak bermoral kerana tertuduh tidak amanah dengan majikannya. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan