DETIK DAILY
Oleh Adam Abu Bakar
SHAH ALAM: Sembilan wakil rakyat PAS Selangor didakwa terpaksa
membelanjakan kira-kira sebanyak RM693 ribu wang sendiri untuk
melaksanakan program bantuan di kawasan masing-masing kerana peruntukan
“disekat” kerajaan negeri.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata tindakan dan sikap
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bertentangan dengan janji
mengutamakan rakyat.
“Kita mewakili setengah juta rakyat dalam DUN masing-masing yang terdiri
daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. Itu rakyat yang kita
wakili yang memerlukan pertolongan dalam pelbagai masalah.
“Ia bukan lagi soal Adun PAS tetapi soal rakyat. Ia hak rakyat yang
berada di bawah Adun PAS,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan
Perhubungan PAS Selangor hari ini.
Sallehen berkata, Adun Chempaka Datuk Iskandar Samad membelanjakan wang
saku sebanyak RM197 ribu, diikuti Adun Gombak Setia Hasbullah Mohd
Ridzuan (RM130 ribu) dan Adun Selat Kelang Halimah Ali (RM100 ribu).
“Saya sendiri sudah menggunakan wang sendiri sebanyak RM40 ribu,” katanya.
Sallehen hairan dengan kenyataan Azmin yang mendakwa terdapat masalah
teknikal dalam pengedaran peruntukan kepada Adun PAS yang tidak dialami
wakil rakyat parti-parti lain.
“Kalau menteri besar hendak beri, dia boleh beri jawapan untuk beri.
Selama ini kita dengar disebabkan masalah teknikal. Kenapa masalah
teknikal ini hanya kepada Adun PAS sahaja?
“Menteri besar minta rujuk kepada pegawai daerah tetapi bila rujuk
diberitahu untuk rujuk kepada menteri besar. Berlaku tolak menolak dalam
perkara ini,” katanya.
Sallehen berkata PAS Selangor bagaimanapun tidak akan merayu kepada Azmin untuk mendapatkan peruntukan mereka.
“Peruntukan diluluskan dalam DUN…menjadi amalan apabila diluluskan kita
akan dapat. Adun lain sudah terima dan boleh buat program tetapi Adun
PAS masih belum terima,” katanya.
“Jika ada masalah teknikal, apa masalahnya teknikalnya?”
Sallehen juga mendedahkan kad program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS),
yang melayakkan ibu berpendapatan rendah menerima bantuan kewangan bagi
pembelian barangan keperluan asas, tidak diedarkan melalui wakil rakyat
tertentu tetapi melalui ketua cabang PKR di kawasan mereka.
“Sebahagian kad KISS untuk Adun masih belum diterima. Kita dimaklumkan
memang ada arahan untuk tidak serahkan kad KISS kepada sebahagian Adun.
“Ada kad KISS yang diserahkan kepada ketua cabang PKR, bukannya
diserahkan kepada Adun. Di kawasan saya, ketua cabang PKR yang serahkan
kad KISS,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan