HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Mac 2018

Tiada keperluan ubah mekanisma harga petro, diesel

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BATU KURAU: Kerajaan akan tetap menggunapakai kaedah penentuan harga minyak petrol dan diesel setiap minggu dan tidak berhasrat untuk mencari mekanisma baru, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
 
Beliau berpendapat, mekanisma dilaksanakan kerajaan ketika ini dilihat yang terbaik dan memudahkan pengguna.
 
Beliau berkata, walaupun harga minyak turun naik setiap minggu, rakyat sudah faham dan boleh menerima mengenainya.
 
"Setakat ini semua rakyat menerima baik mekanisma pengumuman harga petrol dan diesel pada setiap minggu yang mana mereka sudah tahu harga akan diumum pada setiap malam Rabu.
 
"Jika berlaku turun naik harga, ia hanya sekitar tujuh atau lapan sen saja paling tinggi, jadi rakyat sudah faham ini satu mekanisma yang mengikut harga pasaran dunia," katanya selepas merasmikan program Arena Pekan Selasa Milik Koperasi Pasar dan Perniagaan Batu Kurau Berhad, di sini, hari ini.
 
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, usaha dilakukan kerajaan membabitkan harga petrol dan diesel adalah yang terbaik dan rakyat perlu bersyukur mengenainya.
 
Mekanisme pengumuman harga minyak secara mingguan itu mula berkuat kuasa pada 29 Mac tahun lalu.
 
Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.
 
 
 

Tiada ulasan: