Pemuda Umno Kedah mengecam rakan
sejawatannya dari MCA kerana menuntut pemecatan menteri Umno Datuk Seri
Nazri Aziz yang menghadiri sebuah majlis Tahun Baru Cina dengan
berpakaian hitam.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda Umno
Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas sayap pemuda MCA
negeri itu yang dilabelkan sebagai keterlaluan dan mahu mereka “tutup
mulut” dan memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.
“Bagi Pemuda Kedah tindakan Pemuda MCA
itu sudah keterlaluan apabila mereka menuntut Datuk Seri Nazri Aziz
dipecat oleh kepimpinan parti. Pemuda Umno Kedah percaya perkara ini
tidak seharusnya dilakukan dan ia dianggap terlalu mengikut perasaan dan
emosional.
“Kami memahami akan sensitiviti tertentu
masyarakat Cina namun yakin ia boleh dilakukan dengan cara dan
penyelesaian tertutup dan bukannya terbuka.
“Pemuda Umno Kedah ingin memberi
cadangan supaya sebarang ketidakpuasan hati seharusnya disalurkan secara
tertutup dengan menjadikan semangat setiakawan Barisan Nasional sebagai
pengangan utama,” katanya.
Pada sidang akhbar selepas perayaan
berkenaan, Tan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat
Nazri sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan kerana “tiada
sensitiviti budaya”.
Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy, menasihatkan MCA supaya tidak meraih populariti dan sokongan murahan daripada engundi Cina.
“Hakikatnya mereka perlu melihat kaedah dan pendekatan yang lain bagi menarik keyakinan pengundi Cina,” katanya.
Sambil melabelkan tindakan Pemuda MCA
menaikkan sepanduk “Pecat Nazri” sebagai satu kebiadapan yang tidak
boleh diterima, katanya Pemuda Umno tidak pernah bertindak luar batasan
sekiranya ada kejadian yang menyinggung masyarakat Melayu.
Protes Pemuda MCA diadakan Sabtu lalu
untuk menuntut permohonan maaf dari Nazri atas kenyatannya yang dianggap
menghina jutawan Robert Kuok dan MCA.
Daripada melakukan bantahan seumpama
itu, Shaiful Hazizy mencadangkan MCA supaya meningkatkan prestasi mereka
pada pilihan raya akan datang.
“Kegagalan mereka yang hanya berjaya
menang di dua kerusi DUN dan pada masa yang sama kempunan meraih
sebarang kerusi Parlimen di negeri Kedah tidak melayakkan mereka sama
sekali menuntut Nazri meletakkan jawatan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan