HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 September 2019

Kementerian Belia dan Sukan laksana dasar kerja dari rumah akibat jerebu





PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan dasar kerja dari rumah kerana keadaan jerebu semakin teruk di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata KBS akan mengeluarkan satu pekeliling untuk memastikan dasar itu dilaksanakan.

Katanya, disebabkan kebanyakan kakitangan KBS bekerja di luar, mereka terdedah kepada bahaya jerebu.

“Dasar kerja dari rumah akan bergantung kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU). Ia akan dikuatkuasakan jika IPU melebihi 200.”

Dasar itu hanya akan dikuatkuasakan pegawai dan kakitangan KBS atas arahan ketua jabatan dan mereka perlu memastikan kualiti kerja serta standard perkhidmatan kepada rakyat dikekalkan setiap masa.

“Kementerian sedar akan bahaya jerebu kepada kakitangannya.

“Dasar ini diperkenalkan untuk memastikan kualiti hidup kakitangan kekal.”

Syed Saddiq berharap kementerian dan agensi kerajaan lain akan melaksanakan dasar itu untuk melindungi kakitangan mereka.

Setakat 7 malam ini, Putrajaya merekodkan bacaan IPU 195.

Johan Setia di Klang mencatatkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 256, diikuti Balik Pulau di Pulau Pinang (254) dan Sri Aman di Kuching (228).

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Tiada ulasan: