HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Oktober 2019

Kereta terbang bukan untuk dijual pada orang ramai - Menteri

 MALAYSIAKINI
 

 
Pasaran utama kereta terbang yang akan dibangunkan di negara ini adalah syarikat perkhidmatan pengangkutan atau pemain sektor pengangkutan lain, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak maklum balas positif, terutama dari syarikat antarabangsa, termasuk membabitkan aspek pembangunan prototaip dan pelan tindakan.

"Setakat ini banyak pihak menunjukkan minat terhadap pembangunan kereta terbang ini termasuk Grab, yang bercadang menggunakan ia sebagai perkhidmatan teksi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Karnival Keusahawanan Durian Tunggal 2019, di sini hari ini.

Justeru, pasaran jualan komersial kepada orang ramai bukanlah sasaran pasaran kereta itu seperti tanggapan ramai masa ini, katanya ketika diminta mengulas relevan penggunaan dan penjualan kereta terbang dalam kalangan rakyat negara ini selepas pengumuman pembangunan kereta itu mendapat pelbagai reaksi, sebahagian besarnya negatif.

“Kereta terbang ini bukan untuk dijual kepada orang ramai, sama seperti pembangunan (kereta) Formula 1 dan kapal terbang. Orang ramai tidak beli kereta Formula 1 dan kapal terbang sebaliknya mereka naik kapal terbang itu.

Bernama pada Selasa lepas melaporkan Mohd Redzuan berkata kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, dengan prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan tahun ini.

Mohd Redzuan berkata pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya melibatkan bidang kejuruteraan.

Anggota parlimen Alor Gajah itu berkata rakyat di negara ini diminta memahami dan menerima usaha kerajaan terhadap pembangunan kereta terbang itu secara positif serta terbuka agar dapat bersaing dan setaraf dengan rakyat negara maju pada masa hadapan.

"Kereta terbang bukan perkara baharu, dan apa yang kita lakukan untuk merangsang pemikiran dan minda terutama bagi mereka yang mahu berusaha dan tahu pentingnya teknologi.

Sementara itu, beliau berkata pembinaan hospital di Semenyih oleh pelabur Bosnia bukan agenda politik, sebaliknya ia merupakan usaha kerajaan membangunkan kawasan itu dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Katanya pelabur dari Bosnia itu yang telah membangunkan industri kesihatan di seluruh negara dengan jumlah 150,000 katil sehingga kini, bercadang mengembangkan operasi mereka dengan membina hospital 150 katil di kawasan pinggir bandar berkenaan.

"Kita melihat ada keperluan untuk pembangunan hospital di Semenyih, dan akan memberi cadangan lokasi yang sesuai selepas mereka mengemukakan pelan pembangunan," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: