KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan mengimport makanan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, petani perlu mempelbagaikan dan meneroka penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta menggunakan teknologi moden.
Perdana menteri berkata, kerajaan menggalakkan petani dan pekebun mengusahakan pertanian campur untuk memastikan mereka memperoleh pendapatan yang stabil dan lebih baik.
Dr Mahathir menarik perhatian bahawa banyak sayur dan buah yang diimport sebenarnya boleh diusahakan di negara ini sendiri seperti yang dilakukan negara Arab melalui penggunaan teknologi tanaman bertingkat.
Ini bermakna mereka boleh menghasilkan tanaman itu di tanah berkeluasan kecil namun boleh menjana pendapatan yang besar, kata perdana menteri.
“Teknologi ini ada dengan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani),” kata beliau.
Tanaman nanas misalnya boleh memberi pulangan yang baik, kata Dr Mahathir yang menceritakan bagaimana seorang lelaki yang dulunya menjadi pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan kini mampu menjana pendapatan RM1 juta setahun selepas menceburi aktiviti penanaman nanas.
“Adalah menjadi harapan kerajaan agar petani memperoleh pendapatan yang sama dengan mereka yang bekerja di bandar supaya tiada jurang pendapatan yang jauh antara masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan