HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Oktober 2019

Majlis profesor pertahan kenyataan Zainal Kling dalam kongres Melayu

Wakil Majlis Profesor Negara Reduan Che Rose berkata, ucapan 
Zainal Kling tidak mengandungi sebarang unsur mengapi-apikan 
ketengangan kaum atau bertujuan mencetuskan kemarahan 
rakyat Malaysia.
 
KAJANG: Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini sebulat suara mempertahankan ucapan Zainal Kling yang didakwa boleh menimbulkan ketegangan kaum pada Kongres Maruah Melayu, 6 Okt lalu.

Wakil MPN Reduan Che Rose berkata, ucapan Zainal hanya bertujuan untuk mengingatkan orang Melayu tentang sejarah, kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan konsep keistimewaan orang Melayu dalam kontrak sosial negara.

“Kesemua ini adalah hakikat dan fakta sejarah yang sentiasa menjadi bahan kuliahnya sebagai pemegang Kerusi Raja-raja Melayu di UiTM (Univerisiti Teknologi Mara Malaysia),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MPN, di sini.

Tambahnya, perkara yang disebut dalam ucapan Zainal pada kongres tersebut adalah bersandarkan kepada kepakaran beliau tentang budaya dan sejarah alam Melayu, persekutuan Tanah Melayu, kedaulatan dan ketuanan Raja Melayu dan kandungan Perlembagaan Persekutuan 1957.

Sewaktu memberikan ucapan sebagai penganjur kongres tersebut, Zainal mengingatkan orang bukan Melayu di negara ini tentang kontrak sosial mereka dengan orang Melayu dengan berkata, ia merupaksan asas mereka diberikan kerakyatan dan ia boleh “digantung” sekiranya perjanjian itu dilanggar.

Beliau juga dilaporkan berkata, orang Islam dibenarkan menamatkan perjanjian dengan orang bukan Islam sekiranya mereka melanggar syarat perjanjian.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana Thailand merupakan negara orang Thai, China untuk orang Cina dan India negara orang India.

Kenyataan beliau disusuli dengan beberapa laporan polis yang mengkritik ucapannya sebagai berbaur perkauman.

Mengulas lanjut, Reduan Che Rose berkata, segala yang diungkapkan oleh Zainal tidak mengandungi sebarang unsur mengapi-apikan ketengangan kaum atau bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

“Hanya orang yang tidak memahami hakikat sejarah masyarakat Tanah Melayu, termasuklah sejarah Raja-raja Melayu dan mereka yang tidak mengiktiraf keluhuran perlembagaan Malaysia yang berasa tersinggung dengan ucapan Prof Zainal,” katanya.

Zainal dijangka memberikan keterangan kepada polis dalam masa terdekat berhubung ucapannya itu.

Tiada ulasan: