HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Oktober 2019

Kerja penghantaran tak bermaruah: UPM arah pensyarah mohon maaf

Wartawan MalaysiaGazette
MGF02102019_Photo-Essay-Food-Panda_04
Penghantar Grab Food dan Foodpanda masing-masing menjalankan tugas menghantar pesanan kepada pelanggan.
 

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia mengarahkan pensyarahnya, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari supaya memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan pekerjaan e-hailing sebagai tidak bermaruah.

Universiti itu dalam kenyataannya berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat khusus kepada pihak yang terkesan dengan kenyataan tersebut dan umumnya kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Walaupun menyifatkan pandangan tersebut bersifat peribadi, namun Pengarah
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Profesor. Dr. Azmawani Abd Rahman berkata, pihaknya menyiasat perkembangan tersebut dan masih menunggu penjelasan lanjut dari pensyarah berkaitan.

Katanya, pensyarah  tersebut berkemungkinan besar tersalah menggunakan perkataan yang bersesuaian untuk menggambarkan pendapat dan pandangan beliau.

“Bagi memurnikan situasi yang sedang berlaku, UPM akan meminta pensyarah terbabit mengeluarkan kenyataan permohonaan maaf secara terbuka khususnya kepada pihak yang terkesan dengan kenyataan tersebut dan umumnya kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Menurut Dr Azmawani, UPM mempunyai garis panduan kepada semua pekerja dan pelajar dalam memberi kenyataan kepada media.

Katanya, universiti itu juga sering memberi peringatan dan memantau warganya supaya mematuhi perkara-perkara yang telah ditetapkan dan tidak memberi sebarang kenyataan yang berbentuk provokatif, menyinggung, dan memberi persepsi negatif.

Pensyarah berkenaan, Mohd Yusof dalam program temu bual di televisyen ketika ditanya tentang gig ekonomi menyifatkan kerja-kerja penghantaran seperti Gojek sebagai kerja-kerja tak bermaruah. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: