HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Mei 2021

Campur tangan politik robek sistem pentadbiran negara – AMK

MGF28112019_SIDANG-PARLIMEN_35
Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tamparan hebat yang merobek sistem pentadbiran negara.

Malah, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam juga merupakan satu penghinaan terhadap anggota polis yang dipergunakan bagi memenuhi serta melindungi kehendak politik sesetengah pihak.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diletakkan di bawah Parlimen wajar ditubuhkan bagi menyiasat skandal terbesar yang mencemarkan negara dan nama baik PDRM.

Katanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah membuat pengakuan bahawa beliau adalah individu dalam audio yang tular di media sosial berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan polis, sedangkan pada 12 April lalu, beliau menafikan campur tangan tersebut.

“Audio itu perlu diberi perhatian serius apabila pelantikan pegawai tinggi polis tidak lagi berpandukan merit yang sepatutnya, tetapi lebih kepada memilih ‘kroni’ menteri.

“Pengakuan secara terang-terangan itu juga merupakan suatu penyalahgunaan kuasa serta kedudukan Hamzah sebagai menteri dan juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Walaupun Pengerusi SPP, beliau tidak ada kuasa mutlak dalam membuat keputusan dan masih mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Akmal Nasrullah, isu itu menjadi lebih malang, apabila Abdul Hamid mengakui telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: