KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak seharusnya mendesak kerajaan menamatkan pelaksanaan darurat memenadangkan beliau merupakan bekas Menteri Besar dan bekas Menteri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, Mukhriz sepatutnya memahami prosedur dalam kerajaan.
“Kalau seperti didakwa Mukhriz tamatkan darurat segera kononnya kita gagal kawal penularan sebab peningkatan kes jangkitan positif, maka lebih terdesak lagilah kita perlu meneruskan ordinan darurat yang sedang dilaksanakan itu bukannya tamatkan seperti yang dia mahu.
“Dalam keadaan sekarang (kes naik) ordinan darurat sangat diperlukan supaya kita boleh mengawal angka yang meningkat saban hari,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Bekas Atlet Kebangsaan dan NGO di Ampang, dekat sini, hari ini.
Tambah beliau, jika ordinan darurat ditamatkan ia akan memberi tempias kepada kerajaan dan petugas barisan hadapan yang mengorban masa dan tenaga mengekang Covid-19.
“Jika kita ikut kehendak dia (Mukhriz) tamatkan darurat, kita tidak akan dapat mengawal barisan hadapan, doktor dan jururawat serta logistik yang sedang berperang untuk mengawal rantaian Covid-19 ketika ini.
“Ia sekaligus akan membantutkan serta meruntuhkan sistem perubatan kita dalam memerangi pandemik maut itu.
“Jika adanya ordinan darurat berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini, kita boleh memberi tumpuan dan fokus kerja kita ini untuk kawal penularannya,” tegas beliau.
Semalam Mukhriz bersama himpunan Sekretariat Solidariti Rakyat menyertai himpunan #Buka Puasa Parlimen mendesak kerajaan menamatkan darurat kerana ia tidak lagi berkesan dalam mengawal penularan Covid-19. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan