HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Yang pelik bila galakkan lompat parti – Shahril bidas Wan Saiful

Shahril Hamdan (kiri), Wan Saiful Wan Jan (kanan)./ Gambar media sosial

TOPIK lompat parti memang cukup panas dalam konteks hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan UMNO.

Ini memandangkan UMNO dalam penggal pilihan raya ini cukup terkesan apabila ramai Ahli Parlimennya melompat menyertai PPBM.

Justeru, apabila Ketua Penerangan PPBM membidas Tan Sri Abdul Hamid Bador kerana mengkritik wakil rakyat lompat parti, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan tampil menangkis hujah Wan Saiful Wan Jan itu.

Berikut kenyataan penuh Shahril Hamdan: 

Ketua Penerangan PPBM (Wan Saiful) menyerang Tan Sri Abdul Hamid Bador – menganggap gesaan bekas Ketua Polis Negara itu agar SPRM menyiasat budaya Ahli Parlimen melompat parti sebagai sesuatu yang pelik.

Bukan hanya Tan Sri Hamid yang musykil ada unsur rasuah apabila begitu ramai Ahli Yang Berhormat berhijrah semenjak PRU14. Ramai pihak lain terutamanya rakyat menolak budaya katak berleluasa.

Jadi yang pelik bukannya kenyataan sewaktu sidang media Tan Sri Hamid. Itu tidak pelik. Gesaan ramai pemimpin UMNO untuk diadakan siasatan terhadap dakwaan Tan Sri Hamid itu juga tidak pelik.

Yang pelik adalah apabila suatu parti pemerintah mengatakan lompat parti adalah hak Ahli Parlimen yang tak patut menjadi isu.

Saya petik kata-kata Ketua Penerangan PPBM dalam Utusan Online

“Masa mula-mula ambil alih tanggungjawab beliau sendiri melompat daripada Cawangan Khas dan terus menjadi Ketua Polis Negara. Selain itu, kejadian melompat parti ini paling banyak berlaku semasa beliau bertugas di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dulu.

“Jadi kenapa baru nak timbulkan isu ini sekarang? Bagi saya, ini hak ahli Parlimen atau wakil rakyat untuk memainkan peranan dengan cara terbaik di bawah parti mana sekali pun dan perkara itu tidak seharusnya menjadi isu,” katanya.

Baca artikel berkaitan: IGP ulas lompat parti, SPP dan audio Hamzah Zainudin

  1. Menyamakan peralihan jawatan dari Cawangan Khas ke Ketua Polis Negara dengan tindakan lompat parti Ahli Parlimen yang dipilih rakyat? Suatu analogi yang tak masuk akal. Saya tak rasa perlu diterangkan sebab memang tak masuk akal YB lompat parti dihalalkan dengan alasan penjawat awam pun ada yang pindah jabatan atau naik pangkat. Jangan esok guna alasan: rakyat pun tukar kerjaya – dulu kerja pejabat hari ini berniaga kedai makan, jadi lompat parti ini OK. Bertuah…
  2. Soal bila Tan Sri Hamid timbulkan persoalan: semalam, esok, bulan depan, tahun depan – itu soal kedua. Siasat dulu dakwaannya, bukan persoal motif sebagai alasan mengalih perhatian. Rakyat boleh menilai sendiri motif Tan Sri Hamid, tapi ia tidak mengurangkan seriusnya dakwaan beliau.

Kalau hendak persoal motif, elok juga persoal motif figura PPBM dahulu mendukung Tun Mahathir. Sekarang orang sama juga menunding jari ke Tun Mahathir sebagai PM yang memperlihat banyak episod lompat parti.

  1. Sama ada sengaja atau tidak, Ketua Penerangan PPBM seakan mengaku banyak lompat parti berlaku di bawah PM7 dan PM8. Mungkin sebab itu beliau terpanggil menyerang Tan Sri Hamid, kerana bekas KPN itu secara tidak langsung mengingatkan rakyat parti mana yang paling mengaut untung hasil pesta melompat parti besar-besaran 3 tahun kebelakangan ini.
    .
  2. Soal lompat parti adalah hak Ahli Parlimen – ya pada ketika ini mengikut undang-undang ia bukan jenayah mutlak. Tapi jika ada unsur rasuah, unsur ugutan – adakah ia menjadi hak dan halal lagi? Jika mempermain mandat rakyat, mempermain jentera parti yang memenangkan calon-calon itu, adakah ia menjadi hak dan halal lagi? Tepuk dada tanya selera.

Shahril Hamdan

Tiada ulasan: