HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Mei 2021

Semua pemimpin perlu bersatu menentang kekejaman rejim Israel – Thiban

Kasthuri Jeevendran
 
21D8A912-E9A5-4324-A3D7-3E8C0B346BAF

KUALA LUMPUR – Sungguh merunsingkan sekali menyaksikan serangan pada hari-hari terakhir bulan Ramadan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Malah serangan bertubi-tubi dan penindasan tanpa henti yang ditanggung oleh warga Palestin bukan sahaja perlu dikutuk sebaliknya seluruh pemimpin dunia perlu bersatu menghentikannya.

Itu luahan hati Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK), Thiban Subbramaniam yang merasakan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin  sukar diterima sama sekali.

“Ketidadilan, penindasan serta keganasan seperti ini sehingga kanak-kanak kecil tidak berdosa itu juga menjadi mangsa adalah sesuatu yang langsung diterima dalam tamadun moden ini.

“Lebih memilukan dan mendukacitakan apabila serangan-serangan itu sengaja dilakukan pada bulan suci seperti ini, tidak ada perikemanusian, biadap, kurang ajar dan langsung tidak hormat bulan Ramadan.

“Saya secara peribadi ingin melahirkan rasa dukacita, sedih, hiba dan kecewa dengan apa yang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini, apa yang sedang terjadi kepada rakyat Palestin sungguh menyakitkan.

“Apa yang di berlaku di Semenajung Gaza tidak banyak bezanya dengan pembunuhan beramai-ramai etnik Tamil di Sri Lanka dan Rohingnya di Mynmar, yang menjadi mangsa kekejaman adalah rakyat tidak berdosa.

“Saya bukanlah rakyat Palestin mahupun beragama Islam tetapi saya juga manusia yang percaya kepada perikemanusian. Saya mohon semua semua pemimpin dunia termasuklah di negara ini tidak kira idealogi politik tampil bersatu menentang kekejaman ini.

“Marilah kita lindungi rakyat Palestin dari terus ditindas oleh Israel, jangan diam diri janganlah tutup mata, mereka perlukan sokongan kita secara keseluruhannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam Pejabat Hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan mengenai keganasan yang memuncak di wilayah Palestin yang ditakluki, timur Baitulmaqdis dan Israel.

Malaysia melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutuk serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak Jumaat lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: