MALAYSIA POST
SERAMAI 50,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi melaksanakan agenda ‘The Great Reset 2030’ iaitu untuk mengubah 30 tahun kerencatan dan ketidakmatangan politik di Malaysia.
Pengerusinya, Nor Hizwan Ahmad, berkata pelancaran agenda tersebut menandakan ahli PKN yang berbilang kaum kini akan menggunakan PBM sebagai platform politik untuk didengari dan diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menurutnya, selama 30 tahun kerencatan dan ketidakmatangan politik antara kerajaan dan pembangkang disifatkan telah merugikan rakyat Malaysia.
“Data IMF (International Monetary Fund) terkini menunjukkan Singapura berada di kedudukan ke-7 dalam ranking KDNK per kapita dunia manakala Malaysia berada di kedudukan ke-66. Pada ketika ini KDNK per kapita Singapura ialah USD 63,645 manakala Malaysia ialah USD 11,378.
“59 anak tangga memisahkan kedua-dua negara jiran ini dengan jurang pendapatan negara per kapita sebanyak USD 52,000. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Malaysia. Data dari IMF ini menunjukkan Malaysia, selama 30 tahun telah berkembang dengan sangat perlahan dan kita mesti menangani masalah besar ini sekarang.
“Oleh yang demikian, solusi untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan melaksanakan The Great Reset 2030 dan menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat sama dalam melaksanakan anjakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, agenda anjakan baharu ini bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendapatan per kapita Malaysia dan Singapura, tetapi juga untuk menetapkan semula apa yang digelarkan sebagai masalah sistemik yang hebat dalam sosio-politik, sektor pendidikan, ekonomi dan teknologi Malaysia.
Justeru itu, beliau berharap agenda ‘The Great Reset 2030’ ini akan menggerakkan usaha parti untuk merekrut lebih ramai ahli terutamanya wanita, milenial dan Gen Z.
“PBM tidak melihat dirinya sebagai parti politik alternatif tetapi sebagai kuasa utama dalam arena politik nasional.
“Kami di sini bukan untuk menjadi parti politik kelas kedua. Kami di sini untuk menggegarkan negara. Ini satu kejutan atau ‘wake up call’ untuk kita semua. Pergerakan akar umbi kami yang berjumlah 50,000 orang adalah satu kuasa yang perlu dipandang serius.
“Kami akan terus memperkasakan kekuatan kami dan berusaha untuk menjadi lebih besar dari semasa ke semasa apabila lebih ramai wanita, generasi milenial dan zoomer menyertai kami,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan