HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Disember 2021

Peluang cerah Ismail Sabri tanding Presiden, pulih maruah UMNO


Susulan sokongan kuat diterima Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal, membuka peluang kepadanya untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu.

Ismail Sabri yang dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) kesembilan dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO, kini boleh memikirkan strategi seterusnya bersama ‘team’ beliau untuk merebut jawatan itu daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ianya juga membuka peluang kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Shahidan Kassim, serta Datuk Seri Nazri Aziz dan beberapa pemimpin lain untuk kembali memimpin UMNO.

Pemimpin pergerakan Wanita UMNO yang rapat dengan Ismail Sabri juga sekarang ini boleh memikirkan langkah untuk bertanding merebut kerusi Ketua Wanita yang kini disandang Datuk Seri Noraini Ahmad, yang rapat dengan Zahid.

Sebelum ini, ketika merasmikan secara serentak mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bera, Ismail Sabri menjelaskan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk mengadakan PRU15 kerana masih terdapat banyak ‘urusan yang belum selesai’.

Ini termasuk mengemudi negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan menjamin kestabilan politik.

Bukan berniat mengekalkan kuasa PM yang ada sekarang ini, sebaliknya beliau mahu memastikan keperluan rakyat termasuk luar bandar terbela, selain memastikan UMNO melakukan persiapan secukupnya bagi memastikan kemenangan.

Hasrat beliau untuk tidak mengadakan PRU15 lebih awal, menyanggah keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mahu ianya diadakan sebelum pemilihan parti, susulan UMNO/BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

Namun, Ismail Sabri menolak kenyataan itu sebaliknya berkata kemenangan BN pada PRN Melaka baru-baru ini tidak boleh dijadikan tanda aras bagi kemenangan BN di seluruh negara dalam PRU15.

Ini kerana undi popular BN dalam PRN berkenaan hanya meningkat 0.88 peratus dan kira-kira 65 peratus keluar mengundi serta ramai penyokong parti lain tidak keluar mengundi.

Keputusan Ismail Sabri menolak PRU15 lebih awal juga mendapat sokongan rakyat yang sekarang ini berdepan dengan krisis kehidupan susulan pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

Rancangan mengakhiri pandemik dengan endamik pula terbantut susulan penularan varian baharu Omicron yang lebih pantas menular berbanding varian Delta.

Oleh kerana PRU15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat atau sehingga tamat penggal Parlimen pada 2023, bermakna pemilihan UMNO bagi penggal 2021/2023 perlu diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.

Ini bermakna kedudukan Ismail Sabri sebagai PM sekarang ini yang turut disokong kuat PN, masih selamat, kecuali jika Zahid mengulangi pengkhianatannya yang pernah dilakukan terhadap Kerajaan PN dahulu.

Zahid boleh berpakat dengan beberapa MP UMNO yang menjadi pengikut setianya, termasuk Noraini, selain bantuan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menarik sokongan terhadap Ismail Sabri, sekali gus menyebabkan kerajaan Ismail Sabri jatuh.

Tapi beranikah Zahid bertindak demikian dalam keadaan beliau sekarang ini sedang berdepan puluhan tuduhan di mahkamah kerana melakukan jenayah, termasuk rasuah?

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara pemimpin nombor satu UMNO berdepan tuduhan jenayah ketika masih dalam tempoh memegang jawatan.

Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dan dijatuhi hukuman penjara dan denda dalam kes SRC International pun, didakwa di mahkamah setelah meletak semua jawatan.

Apapun, sebagai PM, Ismail Sabri harus bijak mengambil kesempatan sekarang ini menyusun strategi untuk bertanding merebut jawatan Presiden, manakala Hishammuddin pula bagi kerusi  Timbalan, disusuli dengan kerus-kerusi Naib Presiden serta MT.

Tiada ulasan: