HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Januari 2022

13 perkara dalam MoU kerjasama politik sudah dilaksana

Oleh Fahmy A Rosli
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil. Foto fail NSTP
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Setakat hari ini, 13 daripada 18 perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sudah dilaksanakan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata baki lima perkara yang belum dilaksanakan itu, ada yang dalam proses dan terdapat juga yang perlu ketegasan untuk berbuat demikian.

"Setakat 19.1.2022, 13 daripada 18 perkara yang terkandung dalam MOU telah dilaksana. Ini bererti 72.2% daripada kesemua perkara telah dilaksana.

"Untuk lima perkara yang masih belum selesai... Akta Anti-Lompat Parti: PH (Pakatan Harapan) bertegas perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam mesyuarat pertama sidang pertama tahun ini.

"Akta Perkhidmatan Parlimen, Insya-Allah Mac. Pindaan Peraturan Mesyuarat, sedang diurus," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di Twitter, hari ini.

Antara 13 perkara dalam MoU itu yang sudah dilaksanakan adalah mempercepatkan Undi18 dan pendaftaran automatik dan memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Selain itu, ia merangkumi pelaksanaan Majlis Pemulihan Negara (MPN) terdiri daripada 50 peratus pakar, 25 peratus ahli Parlimen PH dan 25 peratus ahli Parlimen kerajaan; penambahan RM45 bilion had dana COVID-19 menjadikan nilai keseluruhan RM110 bilion dan mempertingkat pelaksanaan 'find, test, trace, isolate, support dan vaccinate' (FTTIS+V).

Turut dilaksanakan adalah agihan RM10 bilion kepada 11 juta rakyat untuk miskin tegar, miskin bandar dan yang hilang pendapatan; pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank untuk rakyat B50 serta insentif pengambilan pekerja dan bantuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19.

Perkara lain sudah dilaksanakan adalah menyegerakan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin, memperkukuhkan jawatankuasa Pilihan Khas Bebas dan peruntukan sama rata ahli-ahli Parlimen terbabit dalam persefahaman.

Ia juga meliputi pelaksanaan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang mengikut Perkara 82(1) Peraturan Mesyuarat dan memastikan pejabat ketua pembangkang diberikan hak dan kemudahan sewajarnya.

Tiada ulasan: