Ketua pengarah Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia memperoleh injunksi bagi menghalang Lokman
atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan.
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Lokman Noor Adam supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu, dalam tempoh 24 jam bermula hari ini.
Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im ketika dihubungi pemberita berkata hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im dalam kes samannya terhadap Lokman.
Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Januari lepas, Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.
Akberdin berkata mahkamah membuat keputusan itu dalam prosiding secara dalam talian (Zoom).
“Anak guam saya memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang defendan (Lokman) atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan dalam apa jua cara sekali pun,” katanya menambah mahkamah menetapkan 7 Februari untuk pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak).
Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga ketua pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook “Lokman Noor Adam Official” pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.
Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Januari dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Januari dan 13 Januari lepas.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.
Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Disember tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu Datin terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.
Plaintif berkata notis tuntutan bertarikh 13 Januari lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan