HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Januari 2022

24 Jan keputusan kes yayasan Zahid, sama ada bela diri atau dibebaskan


Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan bersabit kes perbicaraan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari (Isnin) ini.

Keputusan ini bakal menentukan masa depan Zahid yang terpalit 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram puluhan juta dana Yayasan Akalbudi.

Nasib Zahid akan ditentukan sama ada diperintah membela diri atau dibebaskan daripada semua pertuduhan tersebut, ia selepas 99 orang saksi pendakwaan memberi keterangan sejak 18 November 2019.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan mengumumkan keputusan tersebut selepas mendengar dan meneliti pembentangan hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Dijangka keputusan tersebut akan memberi kesan yang signifikan kepada Zahid, ia akan menentukan masa depan karier politik Presiden UMNO tersebut sama ada maruahnya akan terus terpalit dengan pertuduhan jenayah atau namanya dibersihkan jika beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Rentetan perjalanan kes terhadap Zahid bermula apabila beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Julai 2018 bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut masing-masing pada 10, 11, dan 12 Oktober sebelum ditahan pada 18 Oktober 2018 dan seterusnya didakwa keesokan harinya.

Zahid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebanyak tiga kali masing-masing pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pada prosiding yang berlangsung 6 Disember 2021, Hakim Collin turut menetapkan tarikh-tarikh pada bulan Mac, April, Mei dan Jun ini untuk mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan jika mahkamah memutuskan Zahid membela diri.

Perbicaraan itu `diwarnai’ dengan pelbagai peristiwa antara lain apabila Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar dipanggil menjelaskan keadaan kesihatan Zahid yang menerima rawatan selepas mengadu sakit di bahagian tulang belakang akibat terjatuh.

Zahid turut memohon untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya menjadi tiga, namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan pertuduhan adalah jelas dan boleh difahami untuk menyediakan pembelaan serta tidak menimbulkan sebarang isu prasangka.

Pihak pendakwaan memohon Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil membela diri kerana keterangan di mahkamah menunjukkan tertuduh menerima wang melalui cek daripada tiga saksi pendakwaan iaitu Chew Ben Ben (SP34), Junaith Asharab Md. Shariff (SP36) dan Azlan Shah Jaffril (SP38).

Bagaimanapun, pihak pembelaan antara lain menghujahkan Zahid tidak melakukan kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan kerana wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi berfungsi sebagai pinjaman pelaburan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.

Ini kerana Yayasan Akalbudi tidak mengalami sebarang kerugian kerana wang RM10 juta telah dipulangkan oleh syarikat itu beserta faedah hampir RM70,000 yang dijelaskan melalui dua keping cek.

Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Tiada ulasan: