
DAKWAAN bahawa Tan Sri Azam Baki memiliki kepentingan dalam beberapa syarikat disifatkan tidak lain hanyalah agenda politik untuk membunuh karakter sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pandangan itu disuarakan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang turut berpuas hati dengan penjelasan panjang lebar Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar, hari ini.
Menurut Jais, penjelasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah mencukupi sekali gus menjawab segala persoalan yang telah bermain di minda masyarakat umum selama ini.
Jais menegaskan, peranan efektif yang dimainkan SPRM selama ini membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyerang suruhanjaya tersebut.

“Sebenarnya ia bukanlah isu besar melainkan terdapat agenda politik untuk membunuh karakter Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Saya yakin seluruh keluarga SPRM sedar apabila mereka aktif dan agresif dalam menjalankan penyiasatan, membuat tangkapan dan mencadangkan pendakwaan terutama kepada ahli politik telah menyebabkan mereka terdedah kepada serangan luar yang bertujuan menjatuhkan semangat.
“Ranjau dan duri ini pasti ada dan inilah ‘akibat’ daripada tugasan efektif yang telah mereka lakukan selama ini,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas mengenai penjelasan Azam bahawa akaun saham digunakan adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham itu, Jais berkata, tiada satu pun peraturan atau undang-undang melarang tindakan sedemikian.
Malah, Jais berkata, Azam sendiri telah mengisytiharkan tentang pemilikan saham tersebut kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Jais turut difahamkan, pemilikan saham dilakukan Nasir itu adalah secara transaksi terbuka.
“Saya melihat adik beliau sebagai tokoh korporat yang memahami permainan korporat dan mungkin telah meminta kebenaran menggunakan akaun abangnya dengan tujuan supaya saham tersebut dapat dimiliki secara sah.
“Tambahan pula, Azam sendiri telah isytiharkan mengenai pemilikan saham itu kepada Abu Kassim kerana Azam pada waktu itu adalah Pengarah Penyiasatan SPRM.
“Beliau telah mengikut semua prosedur ditetapkan dalam hal berkaitan dengan pemilikan saham jadi jelas dan nyata bahawa tiada kesalahan dalam proses tersebut,” jelas beliau.
Azam dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan