HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Januari 2022

Banjir: Abaikan Sentimen Politik Nakal, UMNO Konsisten Bantu Rakyat – Armand

Oleh: Nurul Saadah Latib


KUALA LUMPUR – UMNO sentiasa konsisten menjalankan kerja-kerja khidmat bakti kepada rakyat dalam mendepani apa juga cabaran termasuk ketika menghadapi bencana alam seperti banjir, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Jelas beliau berkenaan segelintir pihak yang cuba mempertikai gerak kerja UMNO, Armand menganggap itu hanyalah mainan politik nakal yang tidak akan mematahkan semangat kepimpinan serta jentera parti keramat ini.

“Sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini UMNO konsisten dalam politik khidmat bakti terutama dari segi bencana alam dan sebagainya. UMNO tidak pernah lari daripada menjalankan kebajikan sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini untuk terus bantu rakyat terutama di lapangan yang terkesan.

“Sama ada suka atau tidak tengok sahaja di media sosial boleh kata 99 peratus pemimpin yang turun adalah daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Apa yang berlaku pada Disember lepas kita lihat bagaimana kepimpinan baik daripada yang berada dalam barisan Kabinet sehingga ke di peringkat negeri, bahagian dan cawangan turun untuk turun mangsa banjir .

“Kita sebagai pemimpin UMNO di semua peringkat konsisten membantu mangsa banjir tentang kelemahan dan sebagainya… ini asam garam apabila kita turun dalam misi bantuan, mungkin perlu ada penambahbaikan dan sebagainya tapi apa yang pasti kita kena lihat dari segi sudut yang positif iaitu bagaimana barisan kepimpinan UMNO turun sejak hari pertama sehingga selesai pembersihan kawasan dan rumah,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menyifatkan usaha untuk mengaburi mata rakyat ini dilakukan sebaiknya oleh cybertrooper pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) yang ikhtiar sebaik mungkin untuk memalingkan perhatian rakyat daripada melihat kerja kebajikan UMNO yang berterusan.

“Tentang istilah yang dimainkan tidak dapat selesai masalah… orang cakap ini mainan politik nakal oleh PH yang kita lihat sejak awal sehingga akhir tidak nampak pun.

“Saya ingin bercakap di bahagian saya, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen daripada awal banjir sehingga ke hari ini batang hidung pun tidak nampak.

“Kalau kita tengok rata-rata daripada cybertrooper PH cuba kaburi mata rakyat Malaysia iaitu pemimpin mereka gagal untuk menyelesaikan masalah banjir ini… namun bukan masa untuk kita menuding jari dan sebagainya kerana yang penting UMNO menjalankan kerja terbaik buat rakyat,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Tiada ulasan: