HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

BN kekal bertanding solo - Mohamed Khaled

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kekal bertanding sendirian dalam pilihan raya, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO melalui BN juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama parti itu.

"Saya tegaskan kepada ahli parti bahawa pendirian kita jelas dan tidak berubah. UMNO melalui BN akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN.

"Melalui BN dominan dan kembali mentadbir, kita dapat mengembalikan kestabilan serta kesejahteraan kepada rakyat," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Pada hantaran itu, beliau berkongsi tinjauannya mengenai persiapan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keembong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mengingatkan MCA sebagai komponen BN supaya mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada parti terbabit.

"Walaupun Johor Jaya di bawah pembangkang, tetapi ahli UMNO kekal setia dan bekerja keras untuk pastikan BN kembali menawan semula kerusi DUN Johor Jaya.

"Saya juga tekankan kepada MCA bahawa sangat penting mereka bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina kembali kepada BN," katanya.

BN sebelum ini mengambil pendirian bertanding sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan parti itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan.

Terbaharu, timbul spekulasi bahawa DUN Johor pula bakal dibubarkan bagi memberi laluan untuk diadakan PRN.

Malah, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram mendakwa kerajaan Johor sedang bersedia ke arah pembubaran DUN selepas Tahun Baharu Cina.

Tiada ulasan: