HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

Rakyat berpendapat Muhyiddin hanya ingin kekal berkuasa – Najib

MALAYSIA POST

Rakyat berpendapat Muhyiddin hanya ingin kekal berkuasa – Najib

BEKAS Perdana Datuk Seri Najib Razak, menyangkal justifikasi diberikan Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mempertahankan rekod pengendalian Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kepimpinan Muhyiddin tetap gagal seperti pandangan kebanyakan rakyat yang berpendapat tindakannya melaksanakan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘separuh masak’ bukan untuk melawan Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan pihak juga berpendapat tindakan itu bukan untuk membantu rakyat tetapi hanya bagi menghalangnya ditumbangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) masa itu boleh kekal berkuasa.

Najib memberi beberapa fakta berhubung kegagalan Perdana Menteri kelapan Malaysia itu, antaranya adalah Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang menggantung parlimen dengan alasan melawan Covid.

“Cuba sebut satu negara yang berbuat demikian. Negara kita dalam darurat dan parlimen digantung hampir sepanjang tempoh dia (Muhyiddin) menjadi PM pada tahun 2021 lepas iaitu dari 1 Januari sehingga dia henti pada 20 Ogos 2021.

” Akibat langkah-langkah separuh masak di mana kilang-kilang dan tapak pembinaan dibenarkan beroperasi tetapi perniagaan kecil dan Rakyat biasa dikurung, tempoh lockdown Malaysia adalah paling lama di dunia.

“Akibat PKP 2.0 (13 Jan- 5 Mac) dan PKP3.0/Total lockdown/PPN (12 Mei-20 Ogos), rakyat telah dikurung selama 153 hari daripada 232 hari pada tahun 2021 sehingga dia henti sebagai PM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media mengenai justifikasi Muhyiddin yang menyifatkan tempoh mengemudi negara bagi menentang peningkatan penularan kes Covid-19 sebagai ‘lebih teruk daripada peperangan’.

Muhyiddin berkata demikian dalam laporan media UAE, The National, yang diterbitkan semalam.

Najib berkata, biarpun rakyat dikurung begitu lama, rekod kes Covid-19 dan kematian akibat wabak berkenaan di Malaysia adalah paling teruk di ASEAN dan antara paling parah di dunia pada tempoh tersebut.

Menurutnya, lebih mengejutkan terdapat banyak kematian Covid-19 yang tertunggak dan tidak dilaporkan selepas Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Akibat ‘back-log’ tersebut, jumlah kumulatif kematian Covid-19 bagi setiap 1 juta penduduk hampir lonjak berganda dari 418 nyawa pada 20 Ogos ke 789 nyawa pada akhir bulan September.

“Dalam tempoh tersebut itu juga, kadar kes Covid dan kematian Covid setiap hari kita adalah antara paling tinggi dalam dunia,” katanya.

Beliau berkata, biarpun Pengerusi PN itu mengaku telah berbelanja RM600 bilion, keadaan negara di bawah ‘kerajaan gagal’ itu menjadi semakin parah.

“Sehingga membawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengeluarkan titah bersama agar kerajaan tamatkan darurat dan menggunakan pendekatan baharu untuk melawan Covid dan menjaga ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: