HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Januari 2022

Bukan Zuraida, tapi Larry Sng Presiden Parti Bangsa Malaysia

Larry Sng berkata PBM menyatakan hasrat mendukung kepimpinan kerajaan 
pusat hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Siapa Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Julau, Larry Soon@Sng diumumkan memegang jawatan berkenaan selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu hari ini.

Larry yang juga bekas Ketua PKR Sarawak berkata, mesyuarat itu diadakan sebagai menurut kehendak Pendaftar Pertubuhan selaras perlembagaan PBM berikutan peletakan jawatan pemegang jawatan utama.

“Mesyuarat hari ini dihadiri perwakilan dan pemerhati berdaftar dari seluruh negara. Hasil daripada pemilihan, saya dipilih sebagai Presiden PBM dan Haniza Mohamed Talha dipilih sebagai timbalan saya,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan desas-desus Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin akan dilantik sebagai presiden parti itu.

Namun, desas-desus itu terlerai apabila PBM mengumumkan Larry Sng sebagai presiden parti baru tersebut.

Mengulas lanjut Larry berkata, PBM menyatakan hasrat mendukung kepimpinan kerajaan pusat hari ini.

“Kami juga berusaha keras memastikan agenda PBM dalam mengangkat hasrat pelbagai kaum dan berbilang bangsa di Malaysia dapat dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Pada 28 Feb tahun lalu Larry bersama Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mereka dapat menyelesaikan isu rakyat yang masih tertunggak.

Tiada ulasan: