NEW YORK: Seorang hakim di Amerika Syarikat semalam berkata, bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa dalam skandal 1MDB akan dibicarakan pada awal Februari, yakin bahawa varian Omicron tidak akan menjejaskan perbicaraan.
Ketua Hakim Margo Brodie daripada Mahkamah Persekutuan di Brooklyn menangguhkan pemilihan juri selama tiga minggu hingga 7 Feb, dan perbicaraan membabitkan Roger Ng itu dimulakan pada minggu berikutnya.
Pemilihan juri sebelum ini ditetapkan pada 18 Jan.
Ng, bekas ketua perbankan pelaburan bagi Goldman Sachs Malaysia, mengaku tidak bersalah atas kesalahan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan melakukan pengubahan wang haram.
Bekas majikannya bersetuju pada Oktober 2020 untuk membayar USD2.9 bilion (RM12.2 bilion) dan meminta unit dari Malaysia mengaku salah laku jenayah bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) AS dan pihak lain berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB.
Pendakwa berusaha untuk menangguhkan perbicaraan Ng sehingga akhir Februari, dengan berkata Omicron boleh mengakibatkan gangguan dan menghalang perjalanan saksi kerajaan dari Hong Kong, Singapura dan United Kingdom.
Namun kata hakim, perbicaraan berjalan di Brooklyn, dan penangguhan yang singkat sepatutnya mencukupi berdasarkan jangkaan ahli epidemiologi mahkamah.
“Lebih mudah bagi kita untuk mendapatkan kumpulan juri yang bagus kerana, menurut ahli epidemiologi, (penularan) virus akan memuncak pada Januari, jadi saya rasa kita akan berada di penghujungnya,” kata Brodie.
Peguam Ng membantah penangguhan perbicaraan, dengan berkata, tertuduh bersedia untuk meneruskannya selepas lebih tiga tahun berjauhan daripada keluarga sejak ditahan di Malaysia pada November 2018. Ng diekstradisi enam bulan kemudian.
“Dia menghabiskan setiap satu daripada 1,000 hari lalu bersiap sedia untuk perbicaraan ini, dan itulah yang akan dia lakukan sehingga perbicaraan selesai,” peguam Ng, Marc Agnifilo memberitahu Brodie, sebelum menerima penangguhan tiga minggu itu.
Goldman membantu menjual USD6.5 bilion bon bagi dana kekayaan berdaulat 1MDB, yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, dan pihak berkuasa berkata, pegawai bank itu membayar rasuah bernilai lebih USD1.6 bilion untuk perniagaan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan