HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Januari 2022

Dakwaan PM ibarat meludah ke langit, bidas PKR Selangor

MALAYSIA POST

Dakwaan PM ibarat meludah ke langit, bidas PKR Selangor

PKR Selangor membidas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya Kerajaan Negeri Selangor gagal menguruskan bencana banjir yang melanda pada Disember tahun lalu. 

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar, berkata kritikan Perdana Menteri terhadap kerajaan negeri Selangor dan menuduh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) hilang ketika bencana banjir melanda adalah satu penipuan yang cuba dilakukan di Dewan Rakyat. 

“Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang tidak kelihatan? 

“Adakah semata-mata hadir berbaju Melayu dan berada di bilik selesa berpenghawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu? 

“PKR Selangor menganggap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu boleh diibaratkan seperti meludah ke langit,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Jelas Halimey, Ahli Parlimen Pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim  turun seawal pagi 18 Disember, sedangkan kelibat Ismail Sabri hanya dilihat pada 19 Disember. 

Malah, katanya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah turun padang sejak awal bencana banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap. 

Katanya, walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan Pusat tidak kunjung tiba, namun Menteri Besar menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri. 

“Berbeza pula dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang boleh keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun sekadar melalukan gimik bodoh mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan Rina Harun

“Itu belum lagi perangai jelik Menteri dan ahli parlimen kerajaan yang sibuk ke majlis makan malam perhimpunan Umno ketika banjir melanda.

“Beliau juga mengatakan tidak nampak Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan negeri Selangor pada waktu malam ketika banjir melanda. Bagaimana mungkin beliau nampak kerana beliau hanya turun melakukan gimik membersihkan kawasan yang terkesan setelah banjir surut berbanding Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan Negeri Selangor yang berada sejak dari awal bersama penduduk,” katanya. 

Selain itu, PKR Selangor membidas cara dan tindakan Perdana Menteri ketika mengurus bencana banjir. 

“Dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan yang beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara. 

“Mengapa aset kerajaan Pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda negeri Selangor? Adakah beliau lupa bahawa saudara (Tan Sri) Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021? 

“Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan Umno?,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: