HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

DAP tetap tidak sokong pindaan RUU Akta 342 – Guan Eng

MALAYSIA POST

DAP tetap tidak sokong pindaan RUU Akta 342 – Guan Eng

DAP tetap tidak akan menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), untuk menaikkan denda bagi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, tegas Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Menurutnya, pendirian itu diambil walaupun pindaan Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac nanti akan mengekalkan denda maksimum individu RM1,000 tetapi mengurangkan kompaun maksimum bagi syarikat daripada RM1 juta kepada RM500,000.

“Pada masa ini, semua denda kompaun yang dikeluarkan di bawah Akta tersebut tertakluk kepada had RM1,000.

“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah memutuskan untuk tidak menyokong Akta 342 berikutan kenaikan denda yang kontroversi, dan mencadangkan syarikat yang terus ingkar dan melanggar SOP ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berpendapat, rakyat dan syarikat telah cukup menderita dan tidak sepatutnya dibebani ketika kemelesetan ekonomi sekarang dengan denda yang lebih berat tertakluk kepada budi bicara kerajaan.

Pada 20 Disember lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan penangguhan pembentangan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 ke sidang Dewan Rakyat pada Mac.

Ia dibuat hasil kesepakatan bipartisan dan berlandaskan semangat memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

Bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Disember lalu, pindaan RUU berkenaan antaranya mencadangkan denda maksimum RM1 juta bagi syarikat serta pertubuhan yang melanggar SOP, dan denda sehingga RM10,000 bagi individu, selain hukuman penjara. – Malaysiapost

Tiada ulasan: