HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

Isu campur tangan hal mahkamah: ‘Mahiaddin dah lapor polis ke belum?’

 

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin digesa untuk memberi penjelasan adakah beliau pernah membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahannya tahun lalu yang mendakwa ada pihak cuba menghubunginya untuk mencampuri urusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pagoh itu adalah dakwaan yang serius dan telah disiarkan secara meluas oleh akhbar-akhbar dalam negara.

Beliau menegaskan bahawa, dakwaan Mahiaddin itu merupakan perkara yang mempunyai kepentingan awam dan mesti ditangani mengikut undang-undang.

“Jadi, saya menyeru Tan Sri untuk memberikan respons di atas perihal ini. Adakah beliau sudah membuat laporan dan jika sudah, adakah dia menyatakan nama mereka yang didakwa telah membuat desakan itu?

“Jika beliau tidak melakukannya, maka beliau harus menjelaskan mengapa tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sewaktu Mahiaddin masih lagi perdana menteri, beliau telah mendedahkan bahawa ada pihak cuba mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Beliau berkata, beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan menyedari ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan tuntutan yang dibuat itu.

Untuk rekod, seksyen 25 (1) Akta SPRM menyatakan: Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

Seksyen 25 (2) kemudiannya menyatakan: Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Menurut Gobind, suapan ditakrifkan secara meluas dalam seksyen 3 di dalam akta tersebut termasuk bantuan pelbagai jenis dan seksyen 23 membuat peruntukan untuk kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

“Bukankah, daripada perkara di atas dan daripada apa yang telah dikatakan oleh beliau (Mahiaddin), suatu laporan perlu dibuat berhubung perkara tersebut seperti mana dinyatakan didalam seksyen 25(1) Akta SPRM?,” soalnya pula.

Tiada ulasan: