Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat adalah lebih elok dan wajar agar prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang membincangkan tentang pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, dibuat secara terbuka
Beliau berkata, prosiding PSC itu sekiranya dilakukan secara terbuka hingga boleh ditonton dan didengari orang ramai, kebaikannya jauh mengatasi keburukan.
“Oleh itu, bagi saya, lebih elok dan lebih wajar prosiding PSC itu dilakukan secara terbuka dan boleh ditonton oleh semua orang. Rasanya tidak perlu untuk dihujahkan (kerana) isu ini ada kaitan dengan kepentingan awam.
“Dan bagi saya juga, persidangan terbuka itu lebih menguntungkan pihak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sendiri,” katanya dalam satu komen ringkasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Menurut Hanipa, seperti dilaporkan oleh media-media tempatan, Azam Baki dilihat begitu yakin bahawa beliau berada di pihak yang benar.
Justeru katanya, pihak yang yakin dia benar dan kebenaran juga berada di pihaknya, sepatutnya dia perlu lebih yakin dan bersemangat untuk berkongsi kebenaran itu secara terbuka.
“Dia (Azam) yakin seyakin yakinnya bahawa beliau tidak bersalah dan beliau juga berada di pihak yang benar. Dia juga yakin kebenaran akan tertegak akhirnya.
“(Dengan prosiding terbuka), baru kita yakin bahawa dia benar-benar yakin. Itulah, bagi saya logik yang paling boleh diterima,” katanya lagi.
Azam Baki sebelum ini telah diminta hadir ke prosiding PSC bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada yang dilaporkan akan berjalan pada esok, 19 Januari.
Bagaimanapun dilaporkan, semua prosiding PSC termasuk pada esok yang membincangkan pemilikan saham Azam Baki tidak akan dibuka kepada orang ramai.
Menurut laporan portal The Star, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia tidak dibuka berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Azhar juga berkata, perkara tersebut bertujuan untuk memelihara integriti prosiding dan memastikan kerjasama yang lengkap daripada semua yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan