MALAYSIA POST
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan calon Timbalan Perdana Menteri harus daripada parti itu.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memerlukan sebuah kabinet yang mana beliau memiliki ‘command’ untuk mengelak wujud dua nakhoda dalam sebuah kapal.
“Saya setuju dengan Ustaz Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang). Tidak perlu lantik TPM. Tetapi alasan saya tidak sama dengan alasan Hadi. Kalau mahu lantik juga TPM, calonnya mesti dari Umno.
“Ismail Sabri perlu sebuah kabinet yang dia ada ‘command’. Kalau TPM dari parti lain, takut ada dua nakhoda dalam satu kapal. Dia (Ismail Sabri) tutup pintu depan, orang lain buka pintu belakang,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Mohd Puad, Ismail Sabri memerlukan Kabinet ‘teamwork’ kerana kerajaan ketika ini dilihat sebagai tersepit berikutan memiliki majoriti lemah.
“Tetapi jangan tambah lemah kerana ikut cakap orang lain. Rombak sahaja kabinet atau dapatkan mandat baru,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, melantik TPM adalah prerogatif Perdana Menteri.
“Muhyiddin pun tidak lantik TPM dari Umno. Dia tidak hormat hiraki Umno. Majoriti menteri dari Umno ketika itu bukan ahli MKT,” katanya.
Baru-baru ini, Hadi yang juga Presiden PAS menyerahkan kepada Ismail Sabri sama ada mahu melakukan rombakan Kabinet atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebetulnya tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet pada masa ini.
Ini kerana, jelas beliau lagi, barisan menteri yang dilantik itu dilihat telah menjalankan tugas dengan baik.
Ditanya mengenai keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, beliau menyerahkan keputusan berkenaan kepada Ismail Sabri sekiranya Perdana Menteri memerlukan pembantu. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan