HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

‘Kekalutan yang melanda negara, cukup merimaskan rakyat’ – Zahid

AMRI

‘Kekalutan yang melanda negara, cukup merimaskan rakyat’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kekalutan yang melanda negara ketika ini cukup merimaskan rakyat yang sedang bergelut untuk bangkit daripada dampak buruk wabak Covid-19.

Beliau berkata, selain pandemik, rakyat juga turut berdepan dengan kekalutan akibat bencana alam, kenaikan harga barangan sehingga kepada pertikaian antara agensi kerajaan.

“Keadaan ini sememangnya cukup merimaskan rakyat tatkala mereka masih berhempas pulas untuk bangkit daripada dampak buruk wabak Covid-19.

“Dalam keadaan seperti ini marilah kita semua rakyat Malaysia bersama-sama bersatu hati, bertabah dan bersabar mendepani waktu-waktu sukar,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya setiap kesulitan dalam hidup pasti mempunyai pengakhiran yang baik.

“Terus berpadu dan bermuafakat dengan penuh pengharapan agar kemakmuran serta kesejahteraan akan kembali seperti yang kita semua rindui.

“Hati yang cekal mampu menangani segala kesukaran. Mungkin bukan hari ini, tetapi apabila tiba masanya kita tahu apa perlu dilakukan dan diperbetulkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, keteguhan sebuah negara bergantung kepada kekuatan jati diri rakyatnya.

“Bukan sahaja dalam aspek jasmani, tetapi juga rohani. Bagi umat Islam kekuatan rohani diperoleh dengan bersujud kepada Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: