MALAYSIA POST
KERAJAAN semalam duduk semeja bersama wakil Pakatan Harapan (PH) dalam sesi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kedua-dua pihak mengambil kesempatan berkongsi pandangan berkenaan isu-isu semasa.
Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada inisiatif memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak, September lalu.
“Sesi libat urus dan perbincangan yang tulus di antara kedua-dua memang selalu dijalankan bersama.
“Langkah ini penting bagi kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap, selari dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sementara itu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata dalam mendepani ancaman pandemik Covid-19 di samping memastikan usaha pemulihan ekonomi terus berjalan, kerjasama semua pihak haruslah dititikberatkan.
“Ini terutama sekali kerjasama merentasi perbezaan pendapat politik agar kestabilan dan keharmonian negara dapat terus dipertahan,” katanya.
Turut hadir mesyuarat itu mewakili kerajaan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
PH pula diwakili Anthony Loke dan Gobind Singh Deo (DAP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Fahmi Fadzil (PKR) serta Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah). – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan