MALAYSIA POST
VETERAN DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan berapa ramai menteri bersetuju dengan Tan Sri Azam Baki yang beliau telah diisytihar tidak bersalah untuk apa-apa kesalahan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, jika majoriti ahli Jemaah Menteri percaya yang SC tidak mengisytiharkan Azam Baki tidak bersalah, sebaliknya meninggalkan persoalan ini tergantung dan tidak dijawab memandangkan SC gagal “untuk menentukan dengan kepastian sama ada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) telah berlaku”.
Maka katanya, hanya ada satu pilihan untuk mereka iaitu Jemaah Menteri perlu meminta Azam untuk bercuti daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehinggalah persoalan mengenai sama ada beliau telah melanggar undang-undang dapat disiasat oleh badan lain.
Ini menurutnya, termasuk oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Hanya seorang yang dungu sahaja akan melihat kenyataan SC sebagai melepaskan Azam daripada sebarang kesalahan undang-undang dan merupakan satu pengisytiharan Azam tidak bersalah.
“Sekiranya Kabinet tidak berbuat apa-apa, perkara ini bermakna Kabinet bersetuju dengan pemikiran yang mengatakan kenyataan SC telah membebaskan Azam sebagai tidak bersalah.
“Rakyat berhak untuk menganggap Jemaah Menteri sedia ada ini terdiri daripada menteri-menteri dengan standard intelek yang rendah dan tidak mempunyai bakat pemahaman dan kabinet terburuk dalam sejarah negara di bawah sembilan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
SC semalam berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.
Susulan itu, Azam menzahirkan rasa syukur atas keputusan SC yang mendapati tiada sebarang kesalahan terhadapnya berhubung dakwaan pemilikan saham menerusi akaun dagangan milik dirinya.
Dengan itu, Azam berkata beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan