HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Januari 2022

Khairuddin bukan lagi AJK PAS Pusat, sah digugur jawatan


Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali kini bukan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat selepas digugurkan jawatannya.

Perkara itu disahkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung pengguguran jawatan melibatkan bekas Menteri PAS tersebut hari ini yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan punca sebenar Khairuddin digugurkan, namun difahamkan ia merujuk kepada isu disiplin dalam parti tersebut.

“Mestilah ada alasan (digugurkan), dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” kata Hadi selepas kuliah Jumaat hari ini di Masjid Rusila, Marang.

Khairuddin yang kalah dalam pemilihan parti November lalu, dilantik semula sebagai AJK PAS Pusat bersama Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut sumber, Khairuddin dikatakan merupakan salah seorang daripada kem kecil dalam kepimpinan PAS yang mahu parti itu terus bekerjasama dengan UMNO.

PAS adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional, sebuah gabungan yang diketuai Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Hadi beberapa kali menegaskan Muafakat Nasional, satu piagam yang ditandatangani PAS dan UMNO pada 2019 ketika kedua-dua parti berada dalam blok pembangkang perlu memasukkan Bersatu sebagai anggotanya.

Dua bulan lalu, tular sebuah klip audio rakaman perbualan yang dikatakan menunjukkan Khairuddin mengkritik tindakan Hadi untuk meninggalkan UMNO.

Khairuddin berkhidmat sebagai Menteri Industri Perladangan dan Komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin, namun beliau digugurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos tahun lalu.

Tiada ulasan: