HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Januari 2022

Lantik Najib penasihat kerajaan akan gugat MoU – Kit Siang

MALAYSIA POST

Lantik Najib penasihat kerajaan akan gugat MoU – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyifatkan khabar angin bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dilantik menjadi  Penasihat Ekonomi di Jabatan perdana Menteri jika benar, akan menggugat memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dengan kerajaan.

Beliau berkata, pelantikan itu juga akan menimbulkan persoalan mengenai pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, spekulasi mengatakan empat Menteri dijangka akan digantikan iaitu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Dengan Najib Razak akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Menteri Kewangan, dan Shahril Hamdan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Saya tidak pasti berapa tepatkan laporan ini, tetapi melantik Najib ke apa-apa jawatan bertaraf Menteri dikira sebagai melanggar ‘garisan merah’ dan membahayakan MoU yang ditandatangani Perdana Menteri dengan empat pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata adalah menjadi amalan biasa untuk memanjangkan senarai cadangan pelantikan Kabinet atau apa-apa jawatan tinggi kerajaan ke SPRM untuk semakan.

“Adakah SPRM akan meluluskan pelantikan penjenayah yang telah disabitkan bersalah sebagai Menteri Kabinet?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan dan SPRM kini bersedia untuk berkompromi dengan usaha pencegahan rasuah yang dilakukan.

Terdahulu Perdana Menteri dilaporkan enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga Menteri digugurkan dalam masa terdekat.

Ismail Sabri berkata, belum tiba masanya melakukan rombakan Kabinet dan selagi beliau tidak mengumumkan apa-apa mengenai perkara itu ia hanyalah sekadar spekulasi

Menurutnya, tumpuan kini adalah kepada usaha menangani banjir dan pasca banjir, serta langkah membendung penularan Covid-19. – Malaysiapost

Tiada ulasan: