MALAYSIA POST
DATUK Seri Mukhriz Mahathir tidak berhak mencampuri urusan Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan kedudukan pucuk kepimpinan dalam blok pembangkang itu.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Syed Badli Syah Syed Osman, berkata Presiden Pejuang itu tidak layak mempersoalkan perkara berkenaan dan perlu melihat cermin dahulu sebelum mencampuri urusan parti lain.
“Kenyataan beliau yang mendakwa kononnya PH memerlukan kumpulan baru untuk mengambil alih pucuk pimpinan kelihatan begitu canggung dan dangkal.
“Hakikatnya parti Pejuang sendiri adalah sebuah parti yang sangat lemah dan belum berupaya membuktikan sebarang pencapaian politik setakat ini.
“Mukhriz sendiri ditolak dan dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dan ini adalah cerminan kegagalan dan ketidakupayaan beliau untuk memimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim diganti sebagai Pengerusi PH berikutan kegagalan pembangkang menguasai dalam dua siri pilihan raya negeri hujung tahun lalu.
Malah, Mukhriz mencadangkan PH menggantikan Anwar sebagai penerajunya jika ingin kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
Mengulas mengenainya, Syed Badli berkata, sepatutnya Mukhriz sedar Pejuang adalah sebuah parti yang lemah dan tidak mempunyai masa depan cerah dalam arena politik negara.
“Sebagai seorang pemimpin yang sangat lemah dan gagal, beliau tidak layak langsung berbicara soal kepimpinan parti lain. Saya optimis Parti Pejuang tidak akan punya masa depan yang gemilang jika Mukhriz terus menerajui parti tersebut.
“Justeru, saya mencadangkan agar Mukhriz membubarkan sahaja Parti Pejuang dan bersara dari arena politik tanah air,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan