Dua kediaman diserahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kepada isteri pertamanya Dr. Zaiton Abu Bakar sebagai memenuhi tuntutan untuk mendapatkan kebenaran berkahwin satu lagi.
Zaiton, isteri pertama Khalid membuat tuntutan tersebut sebagai syarat membenarkannya berpoligami atau menikahi seorang lagi isteri yang dipersetujui pemimpin Parti Amanah tersebut.
Keputusan itu dibuat Hakim Abdul Halim Abdullah yang membenarkan permohonan pembelaan daripada Zaiton untuk membuat penyelesaian secara baik dengan suaminya itu, menurut laporan Utusan Malaysia.
Menurut peguam yang mewakili Zaiton dari Tetuan Asri Musa & Co, Nurfarhana Abd. Manaf, anak guamnya itu mengarahkan untuk berbincang secara baik dengan Khalid bagi memastikan hak-hak sebagai isteri pertama ditunaikan.
“Kita sudah buat satu perjanjian persetujuan Khalid dengan defendan antaranya adalah nafkah isteri direkod dan diputuskan di hadapan hakim.
“Khalid sebagai plaintif bersetuju hendak memberikan sebuah rumah banglo diduduki mereka sekarang beserta sebuah penthouse yang mana kedua-duanya terletak di Shah Alam ditukar kepada Zaiton.
“Kemudian beliau juga bersetuju memberikan sebuah kereta yang sedang digunakan iaitu Proton X70 selain tambahan elaun iaitu kad kredit kepada defendan. Selain itu dalam perjanjian tersebut turut direkodkan nafkah bakal isteri yang akan diberikan,” katanya yang dipetik portal tersebut.
Tambahnya, pertukaran nama terhadap hartanah dan kereta ke atas nama Zaiton akan dilakukan sebaik sahaja bayaran sewa beli dan ansuran diselesaikan.
Pada 8 Disember lalu, Zaiton memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah sebelum Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir membenarkannya dan menetapkan sebutan semula pada 20 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan