MALAYSIA POST
AHLI Bersatu diminta mempertahankan maruah kepimpinan daripada dihina sekelompok yang sering menyalak mengenai parti tersebut, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau menegaskan, semakin lama golongan terbabit semakin lantang melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu katanya, tindakan biadap tidak patut dibiarkan berterusan.
“Dalam kita bergerak memperkukuh parti dan memperluaskan bantuan kepada rakyat, kita mesti juga pertahankan maruah parti kita.
“Apa yang mereka mahu lagi sehingga berterusan menghina pimpinan tertinggi parti kita?
“Saya tak mahu ini dibiarkan berterusan. Kita mesti bangun mempertahankan nama baik parti dan para pemimpin parti,” katanya dalam pertemuan tertutup bersama pimpinan Bersatu Johor semalam, lapor portal rasmi Bersatu.
Sementara itu Wan Saiful menggesa agar mesejdan publisiti parti diselaraskan dengan jentera penerangan di setiap bahagian dan cawangan parti tersebut.
Ini kerana, katanya, Bersatu memerlukan tokoh-tokoh yang boleh bersuara menyatakan pandangan dengan data dan fakta untuk diterangkan kepada rakyat.
“Peranan ini harus digalas oleh Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, dan Ketua Penerangan masing-masing. Dari segi naratifnya perlu dibincangkan di peringkat bahagian dan negeri.
“Kalau betul ada PRN Johor, dalam menuju ke arah itu, pemimpin di
Johor kena bangun dan banyak bercakap kepada media untuk menunjukkan
kekuatan dalam parti kita,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan