MALAYSIA POST
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah didakwa mencuri atau merompak berhubung kes penyelewengan dana milik SRC International.
Sebaliknya Najib berkata beliau didakwa dan dihukum di bawah pengubahan wang haram (AMLA) apabila dana yang dikatakan haram keluar masuk akaunnya, namun bukan curi dan rompak kerana wang bukannya untuk kegunaan peribadi atau keluarga.
Katanya, kes dihadapinya tidak sama dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu meminta atau menerima suapan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan – Criminal Misappropriation of property.
“Semasa menjatuhkan hukuman, hakim juga kata bahawa dana RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah. Jika saya curi dan rompak, apa yang saya beli dengan hasil curian ini untuk diri sendiri atau keluarga?
“Adakah saya memiliki ladang kuda, projek resort tepi pantai, sebahagian kepentingan dalam hotel mewah 5 bintang ataupun syarikat perkhidmatan private jet seperti kamu?
“Ataupun adakah anak-anak saya pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Tun?
Saya yang mencuri tapi kamu dan keluarga berbilion-bilion aset pula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Malah, menurut Najib perbicaraan mahkamah telah membuktikan sekurang-kurangnya RM642 juta adalah kemasukan dana daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang telah digunakan untuk kerja khidmat sosial (CSR) dan sedekah.
“Kenapa pula saya nak curi RM42 juta sekiranya yang RM642 juta pula yang saya boleh guna bagi peribadi sendiri, saya juga belanja untuk CSR dan sedekah?
“Tapi point yang paling penting Tun (Dr Mahathir Mohamad) kali ini ialah: wang didapati masuk ke akaun saya tapi satu sen skandal FOREX pun tidak didapati masuk ke akaun Tun.
“Orang yang berniat nak curi tidak akan masukkan dana tersebut ke dalam akaun atas nama sendiri di Malaysia. Lebih-lebih lagi ialah perbicaraan mahkamah juga membuktikan seorang bekas gabenor BNM yang nasihat saya untuk buka akaun bawah nama sendiri,” katanya.
Ketika akaun dibuka, katanya lagi, beliau mengarahkan bekas gabenor untuk memantau akaunnya pada tahun 2010 untuk pastikan tiada masalah dengan dana yang masuk namun dakwanya bekas gabenor terbabit tidak melakukannya.
Lagi malang lagi dakwa Ahli Parlimen Pekan itu, SPRM telah mengesahkan keluarga bekas gabenor tersebut lama berususan dan menerima dana RM700 juta dari Jho Low sejak tahun 2017 hingga ke 2013 termasuk sumber dana dari 1MDB.
“Sebanyak RM65 juta baki dari dana tersebut yang disembunyi oleh keluarganya di Singapura turut dikembalikan ke Malaysia seperti didedah dalam kenyataan SPRM pada September 2021.
“Namun hakim sekali lagi tidak mahu terima bukti baharu ini walaupun membabitkan saksi pendakwaan. Tun juga senyap dengan pendedahan ini walaupun Tun yang pernah lantik bekas gabenor sebagai seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan (atau lebih dikenali sebagai Majlis orang tua-tua) dan juga pengerusi PNB yang memegang aset bernilai lebih RM340 bilion.
“Yang Tun pernah komen cuma: “Saya tak tahu, saya tak tahu’. Harap Tun akan memberi komen lebih bernas terhadap pendedahan dua individu ini,” katanya lagi.
Beliau memberi reaksi tersebut susulan kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyebut apabila Najib ditegur kerana menyalahguna kuasa dan mencuri duit kerajaan, dia akan cuba alih perhatian dengan menuduh pula beliau juga berbuat perkara sama.
Menurut Dr Mahathir, semasa Najib menjadi Perdana Menteri, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menyiasat kononnya beliau menyembunyikan kehilangan RM30 billion oleh Bank Negara namun RCI tidak dapat membuktikannya.
“Sementara Najib didapati memasuk wang dalam akaunnya, tidak ada satu sen pun dari wang yang dikatakan disembunyi masuk akaun saya,” kata Dr Mahathir semalam. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan