HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Januari 2022

‘Saya masih ahli Bersatu’ – Mazlan

MALAYSIA POST

‘Saya masih ahli Bersatu’ – Mazlan

KETUA Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini menafikan khabar angin beliau mahu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa berkata, sejak sekian lama namanya dipalitkan dengan pelbagai khabar angin termasuk menjadi Adun Bebas, namun tidak mengendahkannya.

“Setakat hari ini, saya masih ahli Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang macam-macam. Saya boleh ‘jadi apa saja’ dalam khabar angin itu.

“Politik ini kita tidak tahu apa jadi akan datang. Hari ini jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh boleh jadi kawan. Dalam perlembagaan kita ada hak kebebasan untuk sertai apa juga parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai apa juga parti,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, hari ini.

Desas-desus Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri mahu mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas, bertiup kencang kebelakangan ini.

Khabar angin itu menjelma susulan timbul dakwaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan bagi membolehkan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

Mazlan turut menolak khabar angin PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

“Setakat ini saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat. Kita di Johor walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangKaan berlaku.

“Namun setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri.

“Apa yang baik di Johor ini kita dapat kerjasama yang baik dari pembangkang apatah lagi kita masih dalam pandemik Covid-19,” katanya.

Mazlan berkata, bencana banjir yang masih menjejaskan beberapa daerah di Johor juga tidak memungkinkan PRN diadakan dalam masa terdekat.

“Ini kerana sekolah di Johor yang akan dijadikan pusat mengundi masih ada yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). Tak mungkin PRN dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: