HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Januari 2022

Perhimpunan Agung UMNO ditangguh ke bulan Mac, MT kekal sokong Ismail Sabri


UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung 2021 (PAU 2021) pada Mac ini selepas ditangguhkan susulan bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan UMNO dalam satu kenyataan selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi malam ini, tarikh baharu bagi PAU 2021 ialah pada 16–19 Mac 2022.

Bagi PAU 2021 kali ini, kesemua 14 orang perwakilan setiap Bahagian akan dijemput untuk menghadiri ke persidangan dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.

Kesemua lima orang Perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri PAU masing-masing pada kali ini.

Mengambilkira situasi Covid-19 yang masih menular, UMNO menasihati perwakilan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka, penggunaan Aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa kekal, malah perlu terus dimantapkan.

“Majlis Tertinggi UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan,” katanya.

Selain itu, kesiapsagaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 perlu dibuat bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu sekitar 5.8 juta orang.

Turut menjadi fokus UMNO dalam mesyuarat pada malam ini adalah sidang Dewan Rakyat pada 20 Januari ini yang Diharapkan dapat mengumpul cadangan beras agar negara terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang.

“Banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 dan Januari 2022 merupakan sesuatu yang diluar jangkaan. Pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan.

“Mesyuarat mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Negeri Selangor. Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari 2022 juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: