MALAYSIA POST
TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak menghormati dan akur terhadap keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung siasatan terhadap kes membabitkan Tan Sri Azam Baki.
Ahmad Faizal berkata, berdasarkan siasatan menerusi bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad jika terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit.
“Pada 18 Januari 2022, SC telah menyelesaikan siasatannya ke atas kes Azam dan berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad jika terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.
“Azam juga telah dimaklumkan oleh SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan dan SC telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Ahmad Faizal berharap ‘suara-suara’ yang berkeras untuk terus memainkan kes ini akur dengan keputusan SC.
“Selain menghormati autoriti SC yang telah menjalankan tugasnya tanpa sebarang campurtangan menurut undang-undang,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, Pakatan Harapan (PH) yang menyarankan dari awal lagi supaya SC menyiasat Azam, namun apabila keputusan siasatan dibuat, suruhanjaya itu pula dipersoalkan.
“Nampaknya PH sedang memerangi penjawat awam yang berdedikasi dan komited menjalankan amanah mereka demi agenda politik yang sempit dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi kerajaan seperti SPRM dan SC.
“Ini bukan sahaja tidak tulus, malah bersifat tidak patriotik dan meruntuhkan semangat utuh perkhidmatan awam, sekaligus mengkompromi masa depan negara demi agenda politik semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, penjawat awam adalah ‘tiang’ kerajaan dan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan semua agensi kerajaan dilindungi.
“Agensi kerajaan yang menjalankan amanat dan tanggungjawab sewajarnya dilindungi daripada pihak-pihak yang mempunyai agenda kepentingan diri sendiri,” katanya.
Justeru, Ahmad Faizal menyeru semua pihak agar berhenti dari terus menggembargemburkan isu yang melibatkan penjawat awam demi agenda tersembunyi. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan