HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

PKR sedia hadapi PRN Johor - Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) pada program sumbangan bakul makanan kepada anggota PKR Johor di Persiaran Medini, Johor Bahru. - Foto NURUL AMANINA SUHAINI
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) pada program sumbangan bakul makanan kepada anggota PKR Johor di Persiaran Medini, Johor Bahru. - Foto NURUL AMANINA SUHAINI

ISKANDAR PUTERI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) siap sedia berdepan sebarang kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perbincangan mengenainya akan dibangkitkan dalam pertemuan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khamis ini, selain turut membincangkan tumpuan terhadap kebajikan rakyat.

Menteri Besar Selangor itu juga berkata, walaupun secara asasnya ia kurang sesuai tetapi sebagai parti politik, pihaknya tetap bersedia kerana tidak mahu terperangkap dalam situasi yang tidak sepatutnya.

"PKR belum membuat keputusan dalam MPP. Desas-desus ini (PRN Johor) kita ikuti rapat. Di Johor dengan kerajaan yang tipis majoritinya, ada yang ingin ambil kesempatan dalam keadaan tidak sesuai sekarang.

"Belum (bincang kerusi). Saya beranggapan pada pertemuan MPP Khamis ini (20 Januari) nanti kita akan cuba berbincang, dapatkan maklumat. Tapi ini masih desas-desus.

"Saya masih berpaksikan kepada pandangan yang diutarakan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam masa terdekat.

"Pandangan itu turut dikongsi dalam konteks PRN yang akan menelan belanja yang besar, pilihan raya itu sendiri berjalan dalam suasana tidak kondusif, selain kehadiran pengundi yang rendah, kaedah kempen yang terhad mahupun berlaku proses yang tidak menggalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program sumbangan bakul makanan kepada anggota PKR Johor di Persiaran Medini, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata pihaknya meminta Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menamatkan spekulasi sama ada PRN akan diadakan atau sebaliknya.

"Saya meminta Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor kalau betul tiada PRN Johor tolong matikan khabar angin ini, jangan dipolitikkan perkara ini kerana setiap hari orang bertanya bila PRN?

"Kita bukan takut, hanya merasakan rakyat tidak mahu PRN dan kita bersama rakyat. Apabila ia dipolitikkan, fokus kerajaan akan lari. Sepatutnya tumpuan kerajaan untuk bantu rakyat," katanya.

Tiada ulasan: