HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Januari 2022

PH sedia PRN Johor tapi persoalkan kewajarannya

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk 'berlawan' sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun gabungan itu tetap membangkitkan persoalan mengapa pilihan raya itu perlu diadakan ketika masalah COVID-19 masih belum selesai ditambah dengan situasi banjir di negeri itu yang belum pulih sepenuhnya.

"Kita kalau pilihan raya diumumkan kita mesti bersedia, cuma apa kewajarannya (ketika) COVID-19 bertambah, sekatan teruk dan perjalanan kempen akan memihak kepada kerajaan, itu semua kita tahu.

"Masalah banjir belum selesai termasuk di Johor, banjir surut tetapi ia tidak bermakna sudah selesai masalah, rakyat masih susah, kadang kala orang ini tidak faham, mereka tidak pernah turun ke bawah, melihat kesusahan rakyat.

"Kalau turun (jumpa rakyat) terutama bertemu mangsa banjir, mereka tahu masalah ini besar. Orang yang kena (banjir) mereka susah, kelengkapan perumahan, dapur rosak, sebab itu saya kata selesai ini dulu.

Menurut Anwar, andai kata PRN mahu diadakan juga, PH sedia bertanding pada kadarnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan barangan pasca bencana daripada pihak SP Care Group kepada Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi dan Pengasas SP Care Group, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Sumbangan yang diberikan itu termasuklah kayak, enjit bot, jaket keselamatan dan juga pelampung.

Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen berkata, beliau akan membangkitkan masalah rakyat dalam Sidang Khas Parlimen berkaitan banjir yang akan diadakan pada 20 Januari ini.

Tiada ulasan: