HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Januari 2022

PN pemecah tembok perkauman – Hadi

MALAYSIA POST

 PN pemecah tembok perkauman – Hadi

PAS wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman dan Perikatan Nasional (PN) adalah pemecahnya, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Beliau menjelaskan masyarakat Malaysia yang didominasi Melayu beragama Islam berusaha menyatukan bangsa itu melalui penyatuan melalui tiga parti besar; Umno dan Bersatu bersama PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN). 

Menurutnya sekiranya hanya disertai PAS dan UMNO sahaja, gabungan tersebut tidak memadai. 

Seterusnya kata Abdul Hadi, bagi mengumpul pihak atau bangsa lain dalam masyarakat majmuk, maka PAS bertindak secara bersama menubuhkan PN bagi memecahkan ‘asabiyyah kaum atau fanatik perkauman yang ditentang oleh PAS. 

Maka, tegasnya PAS tidak boleh diheret sekali-kali ke dalam lingkungan perkauman yang sempit. 

“Dalam sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform Muafakat Nasional (MN) sahaja yang melibatkan PAS dan Umno semata-mata. 

“Sehinggakan, dipersetujui bersama supaya perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang meletakkan dominasi bukan Islam dan Muslim yang tidak Islamik. 

“Bahkan, turut dipersetujui bersama untuk mengumpulkan seluruh ahli Parlimen Muslim secara keseluruhannya yang masih majoriti jumlahnya. Setelah itu, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini. 

Abdul Hadi berkata, hasilnya dimulakan dengan diadakan Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan Umno dan PAS yang dianjur secara bersama oleh dua parti pembangkang terbesar itu. 

Kemudian, katanya, diikuti pula oleh Kongres Maruah Melayu dianjur tokoh-tokoh ilmuwan dan PAS pada waktu itu juga menyertainya dan mengajak Umno bersama walaupun pada awalnya mereka tidak bersetuju. 

“Hasil kedua-dua himpunan tersebut telah berjaya mengumpulkan sejumlah ahli Parlimen yang cukup bagi membuat perubahan dengan menyelesaikan beberapa masalah dan krisis politik yang belum selesai. 

“Tonggak perubahan ialah kepimpinan yang didominasi oleh Muslim dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Maka, untuk menjayakan perubahan tersebut mestilah melalui tiga parti Melayu yang besar jumlah ahli Parlimennya iaitu Umno, Bersatu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Gabungan Parti Sarawak atau GPS). 

“Jika hanya semata-mata jumlah ahli Parlimen UMNO dan PAS sahaja, sudah pasti tidak mencukupi jumlahnya,” katanya. 

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS berpegang kepada keputusan untuk melebarkan MN yang tidak terhad kepada PAS dan Umno sahaja. 

Seterusnya beliau berkata, melangsungkan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan melalui penubuhan PN.  

“Agenda bagi memperkukuhkan PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama. Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama gabungan PN yang mengumpulkan parti-parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang bertujuan selain daripada itu. 

“PAS pernah bersama Umno menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam PRU14. Maka, PN ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar. 

“Justeru, PAS tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama Umno sahaja. Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baru berada di peringkat permulaaan,” katanya. 

Oleh itu, menurutnya, perpaduan yang wujud jangan sekali-kali dirungkai di tengah jalan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas islah (pembaikan dan pembetulan). 

“Antara sebab-sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan PAS banyak berlembut dalam isu ini,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: