HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Januari 2022

Pas bersama tubuh PN pecahkan asabiyyah kaum – Hadi

hadi awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PAS secara bersama menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi memecahkan asabiyyah kaum atau fanatik perkauman yang ditentang parti itu.

Pada masa sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan PN adalah untuk mengumpulkan bangsa lain dalam masyarakat majmuk.

Kata beliau, penentangan konsep itu menjadi tema Muktamar Tahunan Pas pada tahun 1984 iaitu ‘Menggempur Pemikiran Asabiyyah’.

Menurut Abdul Hadi, PN merupakan pemecah tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman dengan Pas tidak boleh diheret dalam lingkungan perkauman yang sempit.

Dalam sifir politik bagi melakukan perubahan, Abdul Hadi menegaskan perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform Muafakat Nasional (MN) sahaja yang melibatkan Pas dan UMNO semata-mata.

“Sehinggakan, dipersetujui bersama supaya satu perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang meletakkan dominasi bukan Islam dan muslim yang tidak Islamik.

“Bahkan turut dipersetujuk bersama untuk mengumpulkan seluruh ahli Parlimen Islam secara keseluruhannya yang masih majoriti jumlah. Setelah itu, disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Hasilnya dimulakan dengan diadakan Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan UMNO dan Pas yang dianjurkan secara bersama oleh dua buah parti pembangkang terbesar itu.

“Kemudian, diikuti pula oleh Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan. Pas pada waktu itu juga menyertainya dan mengajak UMNO bersama, walaupun pada awalnya mereka tidak bersetuju,” katanya dalam Minda Presiden Pas bertajuk Bersama MN mempertahankan PN.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas berpegang dengan keputusan untuk melebarkan MN yang tidak terhad kepada Pas dan UMNO sahaja.

Katanya, penubuhan PN merupakan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan.

Abdul Hadi memaklumkan, agenda bagi memperkukuh PN dalam kerajaan merupakan persetujuan bersama.

“Bahkan, bagi meneruskan kelangsungan perubahan juga mewajibkan semua parti bersama gabungan PN yang mengumpulkan parti-parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti yang bertujuan selain daripada itu.

“Pas pernah bersama UMNO menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan tajdid (pembaharuan) terhadap BN yang telah ditolak dalam PRU-14. Maka, PN ialah pembaharuannya dalam bentuk lebih besar.

“Justeru, Pas tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama UMNO sahaja. Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baru berada di peringkat permulaan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: