HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Januari 2022

‘PRN Johor tidak sesuai diadakan waktu ini’ – Wan Saiful

MALAYSIA POST

‘PRN Johor tidak sesuai diadakan waktu ini’ – Wan Saiful

BERSATU menegaskan parti itu tidak pernah mendesak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan selain menganggap proses itu tidak sesuai berlangsung ketika ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pihak yang mahu PRN Johor diadakan pada masa ini berkemungkinan mempunyai agenda tersendiri dengan tindakan mereka itu adalah sesuatu yang sukar difahami, lapor Berita Harian.

“Secara peribadi saya merasakan ini bukan masa betul untuk diadakan PRN. Malah rakyat juga pastinya merasakan perkara itu bukan satu keutamaan ketika kita masih dibelenggu isu banjir, Covid-19 dan ekonomi.

“Kita dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah minta diadakan PRN dan saya tidak faham mengapa ada yang berminat dengan perkara ini, jadi kita serah kepada semua pihak buat penilaian,” katanya pada sidang media selepas Program Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin 2022, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, memberi bayangan PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat termasuk memberi jaminan proses itu tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata, buat masa ini pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menghadapi PRN Johor jika ia berlaku dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya berlaku PRN Johor, kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Cuma dari segi masa, saya masih anggap ini bukan masa tepat untuk diadakan PRN.

“Di peringkat Pusat, kita sebenarnya sudah diarahkan bersedia untuk hadapi pilihan raya sejak setahun lalu lagi. Jadi persediaan itu memang berterusan,” katanya.

Ketika ini, spekulasi mengenai Johor bakal berdepan PRN dalam tempoh terdekat kuat diperkatakan, susulan kedudukan kerajaan negeri yang hanya memiliki majoriti tipis satu kerusi melalui 28 kerusi miliknya, manakala pembangkang memiliki 27 kerusi.

Keadaan itu berlaku susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan Umno dan DAP masing-masing memiliki 14, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh). – Malaysiapost

Tiada ulasan: