HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

‘Sahabatku PAS dan Umno, tamatkanlah persengketaan ini’

Nasrudin Hassan

‘Sahabatku PAS dan Umno, tamatkanlah persengketaan ini’

HIRUK pikuk apakah ini ? Sungguh ia sangat menyedihkan. Menjatuhkan maruah kita sesama umat Islam. Bercakaran di khalayak, saling tuding menuding dan membalas “tembakan”.

Apakah kita umat Islam tidak ada kitab panduan? Tidak ada rasul bimbingan? Jika ada, kenapa kita masih bersengketa sesama sendiri hanya kerana kuasa politik? Berebut kerusi dan wilayah penguasaan?

Sampai bila umat ini akan tenang? Sampai bila umat ini akan damai? Sampai bila umat ini akan bersatu?

Kenapa tidak dihayati dan praktis kata wahyu di dalam Al Quran : “dan Taatlah olehmu akan Allah dan RasulNya, janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan, bersabarlah. Sungguh Allah bersama orang yang sabar” ~ Al Anfaal : 46

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ke mana pergi azimat warisan yang soleh berbunyi “BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH”?

Izinkan saya bertanya lagi … sama ada PAS atau pun Umno, (yang mewakili parti besar umat Islam di negara ini) bukankah kita semua adalah muslim yang beriman kepada Allah swt?

Ya, kita muslim! Justeru itu tenanglah saudaraku. Tamatkanlah persengketaan ini. Malu pada masyarakat yang menyaksikan kita sesama agama bergaduh tak sudah. Asal ada pilihan raya kita bergaduh. Asal kita bergaduh, ada pilihan raya.

Saya tahu, semuanya ada alasan.

“Dia kata aku dulu, maka aku jawab lah!”

“Orang kata kat kita, mana boleh tak jawab, ini maruah kita!”

“Dia fitnah kita! Mesti balas balik!”

…. dan 1001 satu alasan lagi yang “kukuh” dan “jitu”.

Persoalannya sampai bila kita akan terus bergelut dan bertelingkah begini? Ke mana hilangnya ketenangan dan kesabaran jiwa sebagai  seorang muslim? Kemana perginya kematangan kita berpolitik ?

Sahabat-sahabatku pimpinan PAS dan Umno. Saya melihat kita banyak habiskan bergaduh dalam perkara yang tidak perlu. Hanya kerana mencari “kepuasan hati”. Melayani karenah pihak yang anti perpaduan. Terpedaya dengan provokasi licik ejen perpecahan.

Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan. Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, CEPAT KOYAK dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. Sikit-sikit gaduh. Kebanyakannya kerana “react” dari kenyataan media.

Lebih duka jika ada di kalangan pemimpin umat Islam dari kedua-dua parti umat Islam ini dah jadi macam kaki gaduh. Asal dia bercakap, cari gaduh. Asal dia menulis di media sosial, cari pasal untuk berbalah. Mencerca dan mengherdik antara satu sama lain.

Sahabat-sahabatku semua. Anda dan kita semua pemimpin negara, negeri mahupun bahagian dan cawangan. Buktikan kewibawaan kepimpinan anda dan sememangnya negara serta rakyat ini perlukan pemimpin yang berwibawa.

Serlahkan kehebatan anda memimpin dengan pemikiran yang membawa gagasan besar menyatukan ummah untuk bina kecemerlangan negara dan rakyat.

Jahitlah luka dan rawatlah kecederaan dengan baik. Jangan dituang minyak pada bara. Bercakaplah dengan ayat yang menyatukan. Menulislah dengan kalimah yang menenangkan.

Kita berjiwa besar nak menyatukan umat Islam di Palestin supaya ambil semula Al Quds. Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yemen, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan PAS dan Umno saja pun, kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan.

Sahabat-sahabatku PAS dan Umno. Tamatkanlah persengketaan ini. Jom kita damaikan hati dan diri kita sendiri. Tak nak gaduh dah. Malu kokram! - MALAYSIA NOW
.
(*) Penulis ialah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS

Tiada ulasan: