HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Jangka menang besar lagi punca BN mahukan PRN Johor

Siti Hafidah

Rakyat mahu kerajaan stabil bawa dasar lebih baik

BANGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap sebagai strategi bijak Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Meskipun menjadi persoalan mengapa perlu diadakan sekarang, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, dalam konteks strategi politik ia satu tindakan yang bijak di pihak BN.

Katanya, ia supaya fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti lebih kepada Parlimen dan beberapa negeri lain yang dirasakan boleh menang di luar PRU.

“Ini satu strategi yang diterima pakai sekarang dan strategi bijak bagi saya untuk (BN)…mengadakan PRN dalam masa terdekat,” katanya ketika menjadi panel dalam Dimensi bertajuk PRN Johor: Demi ‘Periuk Nasi’ Politikus? yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui kerajaan negeri Johor pimpinan Datuk Hasni Mohammad sebelum ini tidak stabil dengan kelebihan hanya satu kerusi.

“Melihat keadaan ini, sebenarnya realiti memang tidak stabil.

“Jadi itu yang BN merasakan bahawa jika diadakan pilihan raya negeri lebih awal dan jangka boleh menang besar, saya rasa itu strategi baik untuk parti itu dengan mengambil kira banyak faktor.

“Jika kita lihat pilihan raya sebelum ini pun dimenangi dengan jumlah yang besar,” katanya.

Selain itu, Mohd Azizuddin mengingatkan bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil.

Justeru, beliau berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk mampu membawa dasar yang lebih baik kepada Johor.

“Itu mungkin sikap ideal yang kita nak hasil PRN ini,” katanya.

Tiada ulasan: